NCER capai pelaburan RM13.67 bilion di Pulau Pinang pada 2023 | DagangNews Skip to main content

NCER capai pelaburan RM13.67 bilion di Pulau Pinang pada 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah menarik pelaburan bernilai RM13.67 bilion di Pulau Pinang dan mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan di negeri itu tahun lalu.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pelaburan tersebut meliputi sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER seperti pembuatan, perniagaan tani, logistik, ekonomi digital dan pelancongan.

 

Menurut beliau, kejayaan itu dapat dicapai hasil kerjasama erat dan berterusan pihak pemegang taruh merangkumi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.

 

"Pada tahun lalu, program pembangunan bakat berteraskan rakyat NCER juga telah memberi manfaat kepada lebih 4,955 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

"Sejak dilaksanakan pada 2019, program berkenaan telah berjaya mewujudkan lebih 16,100 peluang pekerjaan di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan jumlah pelaburan memberangsangkan itu menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap prospek jangka masa panjang yang ditawarkan di Pulau Pinang dan NCER secara amnya.

 

Beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi turut berterima kasih kepada NCIA kerana membantu menjadi pemudah cara dalam usaha menarik pelaburan, sekali gus menyokong pertumbuhan pelaburan memberangsangkan yang direkodkan Pulau Pinang tahun lalu.

 

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan usaha NCIA meningkatkan lagi daya tarikan Pulau Pinang kepada pelabur melangkaui sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E); jentera dan peralatan (M&E) khususnya dalam pembangunan teknologi serta bakat berkemahiran.

 

"Sebagai contoh, program seperti Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC), yang bermatlamat memperkukuh ekosistem perindustrian dan bakat serta meningkatkan rantaian nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bakal mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab teknologi dan inovasi di rantau ini," katanya.

 

Mohamad Haris dan Chow telah menghadiri majlis penghargaan lima syarikat yang terlibat dalam program Pusat Kecemerlangan (CoE), yang turut menerima sijil lantikan sebagai penyedia CoE NTIC, iaitu GF Technology Sdn Bhd; Elliance Sdn Bhd; IME Technology Sdn Bhd; Visionlytics Sdn Bhd dan Easy Pack Machinery Sdn Bhd.

 

Penyedia CoE NTIC yang dilantik hari ini menawarkan kelainan dengan memberi tumpuan kepada usaha menyokong pembangunan PKS tempatan di bawah program Pengguna CoE NTIC dengan lapan syarikat PKS di Pulau Pinang telah mendaftar untuk program tersebut setakat ini.

 

Secara keseluruhan sebanyak 12 Penyedia CoE NTIC dari Pulau Pinang telah dilantik sejak program itu dilancarkan pada Mei lalu yang setakat ini telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM73.67 juta. - DagangNews.com