NESR 2.0 : MDEC sasar 875,000 PKS guna e-dagang | DagangNews Skip to main content

NESR 2.0 : MDEC sasar 875,000 PKS guna e-dagang

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 27 April - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan 875,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro menggunakan platform e-dagang menjelang 2025. 

 

Selain itu, ia juga menggalakkan 84,000 penerapan eksport e-dagang dan meningkatkan pendapatan purata bagi setiap pengguna kepada RM9,500 seperti digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0).

 

Dalam kenyataan hari ini, MDEC memberitahu, setakat akhir tahun lalu, lebih daripada 489,000 PKS dan mikro telah menerapkan penggunaan e-dagang manakala 378,000 PKS telah dilatih dalam segmen berkenaan. 

 

"Jumlah PKS yang mengeksport barangan telah meningkat secara drastik kepada 27,000 berbanding 1,800 sebelum itu selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau," katanya. 

 

NESR 2.0 diwujudkan susulan pencapaian NESR 1.0 yang mana MDEC diberi kepercayaan untuk menerajui Pejabat Pengurusan Projek NESR 2.0 dengan mandat untuk mengawal selia keberhasilan pelaksanaan pelan tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC, Surina Shukri menyifatkan kejayaan NESR 1.0 mencerminkan potensi e-dagang di Malaysia yang sangat besar. 

 

"MDEC bertekad untuk terus mendorong usaha meningkatkan pasaran e-dagang tempatan sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," katanya.

 

Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran e-dagang utama di ASEAN berdasarkan jangkaan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) yang mampu mencecah AS$11.4 bilion tahun lalu iaitu peningkatan 6% dari tahun ke tahun. 

 

Jumlah itu dijangka terus meningkat kepada AS$30 bilion pada 2025 berdasarkan Laporan e-Conomy SEA 2020 oleh Google, Temasek dan Bain & Company.

 

Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan pasaran e-dagang Malaysia di ASEAN, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan NESR 2.0.

 

Kerajaan pada masa sama menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro untuk menyertai pasaran e-dagang bagi merebut peluang besar di peringkat global. 

 

NESR 2.0 diterajui oleh MDEC dengan kerjasama erat bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menguruskan maklum balas dan cabaran yang dihadapi oleh pemain dan industri tempatan.

 

Menerusi NESR 2.0 juga, sebanyak 11 kementerian dan agensi termasuk MITI, KKMM, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 

 

Selain itu, ia turut membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perangkaan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Objektif utama NESR 2.0 adalah selari dengan Teras Kedua dalam MyDigital iaitu meningkatkan daya saing ekonomi menerusi pendigitalan dan Teras Kelima iaitu menyasarkan untuk mencipta masyarakat yang terangkum dengan digital. 

 

Pada masa sama, objektif tersebut adalah selari dengan agenda Malaysia 5.0 yang ingin memperkasakan masyarakat yang terintegrasi dengan teknologi berdasarkan pertumbuhan yang inklusif, mapan dan adil.

 

Sebanyak 639 organisasi dan individu telah terlibat sebagai sebahagian daripada kajian pasaran utama MDEC dalam penubuhan NESR 2.0 yang dijalankan pada 2020 ketika pandemik sedang memuncak. 

 

Ini termasuk 196 syarikat, 18 pertubuhan industri serta 40 Kementerian dan agensi kerajaan. 

 

NESR 2.0 akan dipandu oleh 3 objektif utama, iaitu untuk memperhebat penggunaan dan pertumbuhan e-Dagang, untuk meningkatkan pembangunan ekosistem dan memperkukuhkan persekitaran polisi dan peraturan

 

Enam Teras Strategik telah dikenalpasti menggalakkan intervensi dari Penerapan, Eksport, Penyampaian, Inovasi, Data kepada Polisi dan Peraturan. - DagangNews.com