Nestcon peroleh 2 kontrak pembinaan bernilai RM165.55 juta di Shah Alam, Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Nestcon peroleh 2 kontrak pembinaan bernilai RM165.55 juta di Shah Alam, Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Nestcon Bhd menerusi Nestcon Builders Sdn Bhd menerima dua kontrak pembinaan bernilai RM165.55 juta bagi pembinaan pangsapuri serta pembangunan bercampur di Shah Alam dan Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bagi kontrak pertama, mereka meraih kontrak bernilai RM103.5 juta daripada Sunrise Charm Sdn Bhd bagi projek pembinaan pembangunan bercampur setinggi 45 tingkat merangkumi, pejabat strata (172 unit), apartment servis (98 unit), tempat letak kereta dan kemudahan berkaitan di Jalan Mayang, Kuala Lumpur.

 

Katanya, tarikh permulaan akan dimaklumkan kemudian menerusi perjanjian tambahan.

 

"Kontrak tersebut dijadual siap dalam tempoh 44 bulan dari Tarikh permulaan atau dalam tempoh lanjutan seperti yang diperuntukkan syarat-syarat kontrak," katanya.

 

Bagi kontrak kedua, Nestcon berkata, mereka meriah kontrak bernilai RM62.05 juta daripada Taipanika Development Sdn Bhd bagi pembangunan blok pangsapuri setinggi 12 tingkat merangkumi 288 unit dan kemudahan berkaitan di Pekan Baru Subang, Seksyen U5, Shah Alam.

 

Kumpulan itu berkata, projek itu dijadualkan bermula pada 8 Julai 2024.

 

"Kontrak itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 20 bulan dan Tarikh siap hendaklah pada 7 Mac 2026 atau dalam tempoh lanjutan seperti yang diperuntukkan," katanya.

 

Katanya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada asset bersih, pendapatan sesaham dan penggearan syarikat sepanjang tempoh kontrak itu berlangsung.

 

Kumpulan itu tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan kontrak namun mereka akan mengambil langkah perlu bagi mengurangkan risiko.- DagangNews.com