Nestcon peroleh kontrak RM108 juta bagi projek pembangunan komersial 37 tingkat | DagangNews Skip to main content

Nestcon peroleh kontrak RM108 juta bagi projek pembangunan komersial 37 tingkat

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - Nestcon Berhad telah memperoleh kontrak bernilai RM108 juta untuk projek pembangunan komersial 37 tingkat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu berkata surat anugerah (LOA) dianugerahkan oleh Exsim Avenue Sdn Bhd kepada anak syarikatnya, Nestcon Builders Sdn Bhd.

 

Kontrak terbabit melibatkan kerja pembinaan dan penyiapan kerja tanah, kerja cerucuk, kerja bangunan utama dan kerja infrastruktur untuk pembangunan komersial bercampur itu, yang terdiri daripada kedai runcit, pejabat strata (220 unit), pangsapuri servis (126 unit), tempat letak kereta dan kemudahan lain yang berkaitan.

 

Nestcon berkata projek itu perlu disiapkan dalam tempoh 39 bulan bermula 15 Januari 2024 sehingga 14 April 2027 atau dalam tarikh lanjutan seperti yang diperuntukkan oleh syarat kontrak.

 

“Penerimaan LOA oleh Nestcon Builders untuk melaksanakan kerja kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan syarikat sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

 

Kumpulan itu berkata tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Nestcon atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam LOA dan/atau kontrak tersebut.

 

Saham Nestcon ditutup kekal pada 37 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM252.4 juta. - DagangNews.com