Nestle, Tetra Pak kumpul lebih 4,000 tan pek minuman kitar semula bina 1,400 atap rumah Orang Asli melalui projek CAREton | DagangNews Skip to main content

Nestle, Tetra Pak kumpul lebih 4,000 tan pek minuman kitar semula bina 1,400 atap rumah Orang Asli melalui projek CAREton

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Projek CAREton, sebuah inisiatif bersama antara Nestlé Malaysia, Tetra Pak dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mengumpul lebih 4,000 tan pek minuman terpakai, yang dikitar semula dan dijadikan papan panel PolyAl serta atap yang digunakan untuk pembinaan lebih 1,400 buah rumah untuk masyarakat Orang Asli di Malaysia. 

 

Jumlah tersebut bersamaan dengan lebih daripada 283 juta pek minuman.

 

Pengarah Urusan Tetra Pak Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia, Michael Wu berkata, pembangunan program kitaran semula yang mampan memerlukan usaha sama dan penyertaan aktif pelbagai pihak dalam rantaian nilai untuk memastikan kejayaannya. 

 

Katanya, Tetra Pak dan Nestlé komited dalam memfokuskan kelestarian sebagai keutamaan perniagaannya dan bergerak ke hadapan secara kolaboratif untuk mencorak alaf yang lebih lestari untuk Malaysia. 

 

"Kami menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menyertai Projek CAREton dan mengitar semula pek minuman terpakai mereka untuk menyumbang kepada ekonomi kitaran," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols pula berkata, tahun ini, projek CAREton telah diperluas dengan penglibatan lebih banyak lagi PBT serta pusat pengumpulan dan sekali gus memudahkan rakyat Malaysia mengitar semula pek minuman terpakai mereka. 

 

Katanya, projek CAREton adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif strategi pembungkusan dan pekeliling yang mampan Nestlé Malaysia, termasuk Projek SAVE, yang dilaksanakan melalui Strata Recycling, pengutipan pintu ke pintu dan program KITAR Recycling. 

 

 

nestle

 

 

"Kami berharap untuk terus memperluaskan Projek CAREton untuk mencapai lebih ramai rakyat Malaysia. Kerjasama ini mencerminkan kekuatan usaha sama antara sektor awam dan swasta ke arah alaf lebih lestari menyokong objektif bersama kami ke arah Malaysia yang bebas daripada sisa," katanya.

 

Sementara itu, projek tersebut melibatkan penubuhan tempat pengumpulan yang mudah dicapai rakyat Malaysia untuk mengitar semula pek minuman terpakai mereka. 

 

Tempat pengumpulan itu boleh didapati di bangunan-bangunan PBT yang mengambil bahagian, sekolah, universiti, dan premis perniagaan yang mengambil bahagian. 

 

 

nestle

 

 

Setelah dikumpul, pek minuman terpakai akan diangkut ke sebuah fasiliti khas, yang mana ia dikitar semula menjadi produk baharu seperti genting atap dan papan panel. 

 

Genting atap dan papan panel ini pula akan disumbangkan kepada EPIC Homes, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan projek komuniti lain untuk digunakan dalam pembinaan rumah serta projek baik pulih kepada komuniti Orang Asli serta mereka yang memerlukan. - DagangNews.com