KUALA LUMPUR 7 April - Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA (Movenpick) kini menawarkan kepada anda peluang untuk merasai pengalaman 1001 Bufet Ramadan bermula 5 April sehingga 1 Mei ini.
Bufet Ramadan kali ini menampilkan gabungan masakan tradisional dan antarabangsa dengan kelainan 1001 hidangan bercita rasakan Arab sebagai tema pada tahun ini.
Menurut Cef Eksekutifnya, Al-Fithri, terdapat lebih 150 hidangan disediakan sempena 1001 bufet Ramadan itu dengan nasi kambing Ouzi merupakan hidangan utama tahun ini.
Hidangan tersebut sangat popular di Lubnan dan Turki. Ouzi pula adalah perkataan Lubnan untuk hidangan kambing bakar dan nasi rempah.
“Gabungan pelbagai rempah yang menarik akan memberi rasa aromatik nasi dengan kambing bakar itu, sesuai dengan citarasa Arab.
"Selain itu, kami turut menampilkan minuman teh dan kopi Turki, serta beberapa pencuci mulut Asia Barat yang sangat lazat,” katanya dalam sidang akhbar 1001 Bufet Ramadan baru-baru ini.
Selain sajian Arab, bufet itu juga menampilkan 15 gerai yang menjamukan hidangan seperti gulai kawah istimewa, nasi lemak, sate Malaysia, 'claypot', teppanyaki dan banyak lagi hidangan yang mesti dicuba.
Apa yang menariknya, pemilihan tema tahun ini juga diadaptasikan dengan cerita seribu satu malam, koleksi cerita rakyat Asia Barat yang disusun dalam bahasa Arab semasa zaman kegemilangan Islam.
Bahkan, pengalaman menjamu selera anda bukan sahaja terhad kepada hidangan kegemaran tempatan Arab dan barat, tetapi turut dikelilingi pokok tamar.
Ruang makan juga selesa di sekitar Restoran Temasya, Restoran Redup dan sekitar kawasan anjung bagi memastikan penjarakan sosial setiap pengunjung. - DagangNews.com