Nilai jualan sektor pembuatan April 2024 cecah RM153.2 bilion, susut 3.3% berbanding Mac - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan April 2024 cecah RM153.2 bilion, susut 3.3% berbanding Mac - DOSM

Industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan 11.4% pada April 2024 (Mac 2024: 5.4%) dipacu oleh Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler. - Gambar hiasan Freepik
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jun - Nilai jualan sektor pembuatan menguncup 3.3% daripada RM158.4 bilion yang dicatatkan pada bulan Mac 2024 kepada RM153.2 bilion pada April 2024, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Walau bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun (YoY) menyaksikan peningkatan sebanyak 5.7% pada April 2024, kata jabatan itu yang melaporkan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia, April 2024.

 

Mengulas laporan tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.7% kepada RM153.2 bilion pada April 2024 berbansing setahun lalu, mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 13 bulan berikutan kesan nilai asas yang lebih rendah.

 

"Kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh nilai jualan dalam subsektor kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (16.9%); Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (12.8%); dan Peralatan elektrik & elektronik (2.7%). 

 

"Namun begitu, nilai jualan sektor Pembuatan menguncup 3.3% daripada RM158.4 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

dosm

 

Katanya, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 69.9% daripada jumlah jualan, meningkat sebanyak 3.4% daripada negatif 0.1% pada Mac 2024. 

 

Ujar beliau, kenaikan tersebut adalah didorong oleh pengembangan dalam industri Pembuatan kimia & produk kimia (9.9%); Pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (8.3%); dan Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (2.9%). 

 

"Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport jatuh sebanyak 3.9% berbanding pertumbuhan dua digit 10.0% yang dicatatkan pada Mac 2024.

 

"Begitu juga, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.4% pada April 2024 (Mac 2024: 5.4%)," jelasnya.

 

Menurut beliau, kenaikan tersebut dipacu oleh Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler; dan Pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan, yang masing-masing melonjak sebanyak 23.1% dan 17.0%. 

 

Berbanding bulan sebelumnya, kata Dr Mohd Uzir, nilai jualan industri berorientasikan domestik menurun 1.9%, berbanding positif 4.7% yang direkodkan pada Mac 2024.

 

Selain itu, Ketua Perangkawan menyatakan, seramai 2.37 juta orang pekerja terlibat dalam sektor Pembuatan pada April 2024, yang meningkat 1.0% berbanding 2.35 juta orang yang direkodkan setahun lalu (Mac 2024: 0.5%). 

 

"Kenaikan itu sebahagian besarnya dalam subsektor Makanan, minuman & tembakau (4.7%); Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (2.3%); dan Kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (1.3%). Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat secara marginal 0.4%,” katanya.

 

Seiring dengan kenaikan bilangan pekerja, gaji & upah yang dibayar dalam sektor Pembuatan tumbuh 1.2% tahun ke tahun untuk merekodkan RM8.11 bilion pada April 2024, kata beliau.

 

Menurut Dr Mohd Uzir, bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji & upah terus menurun sebanyak 1.4% daripada RM8.23 bilion yang direkodkan pada Mac 2024. 

 

"Purata gaji & upah bulanan bagi setiap pekerja adalah RM3,419 pada April 2024, peningkatan sebanyak 0.2% berbanding setahun lalu, manakala nilai jualan bagi setiap pekerja bertambah baik sebanyak 4.6 peratus untuk merekodkan RM64,583," jelasnya.

 

Mengulas prestasi keseluruhan sektor Pembuatan bagi empat bulan pertama tahun 2024, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor Pembuatan mencapai RM610.6 bilion, meningkat sebanyak 2.7% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 (Januari - April 2023: 5.5%). 

 

"Pada tempoh tersebut, bilangan pekerja bertambah sebanyak 1.0% kepada sejumlah 2.37 juta orang, manakala gaji & upah menokok 1.2% kepada RM32.9 bilion. Oleh itu, nilai jualan setiap pekerja mencatatkan sebanyak RM257,337 pada tempoh tersebut, merekodkan pertumbuhan 1.7%,” ujarnya. - DagangNews.com