Nilai jualan sektor pembuatan merosot 1.4% kepada RM156.7 bilion pada Oktober 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan merosot 1.4% kepada RM156.7 bilion pada Oktober 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Nilai jualan sektor pembuatan susut kepada 1.4% tahun ke tahun kepada RM156.7 bilion pada Oktober 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan menurun 1.4% pada Oktober 2023, namun pada kadar yang lebih kecil berbanding kemerosotan 2.4% pada bulan sebelumnya. 

 

Katanya, penurunan tersebut sebahagian besarnya dipengaruhi kejatuhan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 9.5% (September 2023: -12.3%); dan subsektor peralatan elektrik & elektronik yang menyusut sebanyak 2.7% (September 2023: -0.04%). 

 

"Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan menurun sedikit 0.7% berbanding RM157.8 bilion yang direkodkan pada September 2023 (3.7%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi lebih dua pertiga daripada jumlah jualan, menurun 5.2 peratus pada Oktober 2023, selepas penyusutan 5.9% pada September 2023. 

 

Ia disebabkan terutamanya penurunan dua digit dalam pembuatan kok & produk petroleum bertapis kepada negatif 18.4%. Tambahan lagi, pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan; dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal turut mempengaruhi penurunan dengan masing-masing merekodkan negatif 3.6% dan 2.8%.

 

Namun begitu, industri berorientasikan domestik merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.9% pada Oktober 2023 (September 2023: 8.2%). 

 

 

DOSM

 

 

Pengembangan yang stabil ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan ketara 20.6% dalam nilai jualan pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler. 

 

Tambahan lagi, pembuatan produk makanan (10.5%); dan pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan (9.2%) juga menyumbang secara signifikan dalam merangsang prestasi industri berorientasikan domestik.

 

Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menyusut 2.1% manakala industri berorientasikan domestik berkembang 3.2%.

 

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan melibatkan seramai 2.38 juta orang pada Oktober 2023, meningkat 2.5% berbanding 2.32 juta orang yang dicatatkan pada Oktober 2022. 

 

"Kenaikan tersebut didorong terutamanya peningkatan bilangan pekerja dalam subsektor makanan, minuman & tembakau (7.7%).

 

" Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (2.5%); dan produk elektrik & elektronik (1.6%). Bagi perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor pembuatan meningkat sedikit 0.2%," katanya.

 

Selaras dengan trend positif pekerja, gaji & upah yang dibayar dalam sektor pembuatan berkembang sebanyak 3.4% tahun ke tahun, berjumlah RM8.1 bilion pada Oktober 2023. Berbanding bulan sebelumnya, gaji & upah yang dibayar mencatatkan pertumbuhan marginal 0.1 peratus berbanding 1.7% yang dicatatkan pada bulan September 2023. 

 

Tambahan lagi, nilai jualan bagi setiap pekerja menurun 3.7% untuk merekodkan RM65,879 manakala purata gaji & upah bagi setiap pekerja pada Oktober 2023 adalah RM3,425 yang meningkat sebanyak 0.9% tahun ke tahun.

 

Menurut Mohd Uzir, nilai jualan sektor pembuatan mencecah RM1.5 trilion, menunjukkan pertumbuhan marginal 0.9%q berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari - Oktober 2022: 17.1%).

 

"Pada tempoh tersebut, bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.5%, mencapai seramai 2.38 juta orang manakala gaji & upah menokok sebanyak 3.6% berjumlah RM80.9 bilion.

 

"Tambahan lagi, nilai jualan per pekerja berjumlah RM630,367, merekodkan penurunan 3.7%," katanya. - DagangNews.com