Nilai jualan sektor pembuatan merosot 4.2% kepada RM149.9 bilion pada Disember 2023, penurunan terbesar dalam tempoh tiga tahun - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan merosot 4.2% kepada RM149.9 bilion pada Disember 2023, penurunan terbesar dalam tempoh tiga tahun - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan penurunan sebanyak 4.2% tahun ke tahun untuk mencatatkan sebanyak RM149.9 bilion pada Disember 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia merekodkan penurunan terbesar sejak Mei 2020, yang dipengaruhi terutamanya penurunan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sejak Jun 2023, mencatatkan negatif 13.6% pada Disember 2023. 

 

Katanya, subsektor peralatan elektrik dan elektronik menurun 4.6% manakala subsektor makanan, minuman dan tembakau menyusut 2.6%. 

 

"Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup 3.3% berbanding RM155 bilion yang direkodkan pada November 2023," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili hampir 70% daripada jumlah jualan, terus merosot sebanyak 8.4% pada Disember 2023 selepas menguncup 6.9% pada November 2023. 

 

Katanya, penurunan tersebut disebabkan terutamanya kejatuhan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada negatif 24.9%, diikuti pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan (-8.6%) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.8%).

 

"Sebaliknya, industri berorientasikan domestik terus kukuh dengan merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 6.7% pada Disember 2023 disokong terutamanya oleh pengembangan kukuh dalam pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan sebanyak 11.5%. 

 

 

DOSM

 

 

"Tambahan lagi, pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler mengalami pertumbuhan 8% manakala pembuatan produk pemprosesan makanan meningkat 6.8%. Perbandingan asas bulan ke bulan, industri berorientasikan kedua-dua eksport dan domestik masing-masing menurun 3.9% dan 1.8%," katanya.

 

Beliau berkata, sektor pembuatan melibatkan seramai 2.37 juta orang pada Disember 2023, meningkat 1.7% berbanding 2.34 juta orang yang dicatatkan pada Disember 2022. 

 

Katanya, pertambahan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (5.9%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.3%) dan kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.2%).

 

"Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini menurun sedikit 0.1%," katanya.

 

Pada masa sama katanya, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.1% tahun ke tahun, berjumlah RM8.7 bilion pada Disember 2023. 

 

Katanya, berbanding November 2023, gaji dan upah yang dibayar meningkat 7.3% berbanding dengan pertumbuhan kecil 0.04% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

"Selain itu, nilai jualan bagi setiap pekerja menurun 5.8% untuk merekodkan RM63,121 manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja pada Disember 2023 adalah RM3,683 yang meningkat sebanyak 0.5% tahun ke tahun.

 

"Pada suku tahun keempat 2023, nilai jualan sektor pembuatan terus menyusut untuk tiga suku tahun berturut-turut, menurun 2.7% tahun ke tahun untuk mencapai RM461.5 bilion. Kemerosotan tersebut disebabkan oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah & plastik (-11.2%) dan peralatan elektrik dan elektronik (-4.2%). 

 

"Sebaliknya, bilangan pekerja dan gaji & upah pada suku tahun berkenaan, masing-masing menyederhana kepada 1.7% dan 2.9%." katanya.

 

Mohd Uzir berkata, nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM1.8 trilion, meningkat marginal sebanyak 0.2% berbanding tahun 2022 (15.8%). 

 

Pada tahun berkenaan katanya, bilangan pekerja menokok sebanyak 1.7% untuk merekodkan seramai 2.37 juta orang dengan gaji dan upah meningkat 3.5 peratus kepada RM97.8 bilion. 

 

"Selanjutnya, nilai jualan per pekerja mencatatkan penyusutan 1.5%, berjumlah RM759,735," katanya. - DagangNews.com