Nilai kerja pembinaan capai RM36.8 bilion pada suku pertama 2024, meningkat 14.2%- DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai kerja pembinaan capai RM36.8 bilion pada suku pertama 2024, meningkat 14.2%- DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Nilai kerja pembinaan mencapai RM36.8 bilion pada suku pertama 2024, mencatatkan peningkatan 14.2% berbanding suku tahun keempat 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi yang memberangsangkan itu disumbangkan oleh pengembangan yang lebih kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam, iaitu pada 24.7% selepas peningkatan 18% pada suku sebelumnya. 

 

Selain itu, beliau berkata, subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman kedua-duanya mengalami peningkatan dua digit masing-masing sebanyak 11.8% dan11.5%. 

 

Pada masa yang sama, subsektor bangunan bukan kediaman juga berkembang pada kadar yang lebih laju sebanyak 3.8%.

 

"Daripada nilai kerja berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama 2024, kejuruteraan awam berjumlah RM15.1 bilion atau 41.1%, didorong oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api yang menyumbang sebanyak RM7.6 bilion. 

 

"Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing adalah sebanyak RM10.2 bilion (27.7%) dan RM7.8 bilion (21.1%). 

 

binaan

 

"Aktiviti pertukangan khas merekodkan RM3.7 bilion (10.0%), sebahagian besarnya dalam aktiviti pemasangan elektrik (RM1.1 bilion); pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM900 juta) dan penyediaan tapak (RM700 juta)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan pada suku ini, dengan peningkatan sebanyak 10.1% didorong oleh kejuruteraan awam (13.5%) dan bangunan kediaman (12.9%). 

 

Beliau berkata, nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM21.8 bilion atau 59.2% daripada jumlah nilai kerja pembinaan. Sebaliknya, nilai kerja oleh sektor awam mencapai RM15 bilion atau 40.8%, yang mengekalkan pertumbuhan dua digit untuk tiga suku berturut-turut dengan mencatatkan 20.6% pada suku ini.

 

Mohd Uzir berkata, hampir 58.4% daripada nilai kerja pada suku pertama 2024 tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sarawak dan Johor. 

 

"Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM8.3 bilion atau 22.6%, disumbangkan oleh kejuruteraan awam (RM2.9 bilion), diikuti bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing pada RM2.3 bilion dan RM2.2 bilion. 

 

"Johor menduduki tempat kedua dengan nilai RM4.8 bilion atau 13% , terutamanya dalam subsektor kejuruteraan awam (RM1.8 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM1.4 bilion). Tambahan pula, nilai kerja di Wilayah Persekutuan adalah RM4.3 bilion (11.7%) manakala Sarawak mencatatkan RM4.1 bilion (11.1%)," katanya. - DagangNews.com