Nilai kerja pembinaan suku kedua 2024 naik 20.2% kepada RM38.9 bilion, 1H24 RM75.7 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai kerja pembinaan suku kedua 2024 naik 20.2% kepada RM38.9 bilion, 1H24 RM75.7 bilion - DOSM

Nilai kerja pembinaan terus meningkat pada 2Q24, kata DOSM. Gambar NAIM AZIZ/DagangNEWS
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Nilai kerja sektor pembinaan pada suku kedua 2024 (2Q24) melonjak 20.2% kepada RM38.9 bilion berbanding tempoh sama setahun sebelumnya.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan Statistik Pembinaan Malaysia Suku Kedua 2024, peningkatan ini menyusul selepas 1Q 2024 yang turut mencatatkan pertambahan nilai kerja sebanyak 14.2% kepada RM36.8 bilion.

 

"Keseluruhannya, nilai kerja pembinaan bagi separuh pertama 2024 (1H24) mencatatkan jumlah sebanyak RM75.7 bilion, peningkatan sebanyak 17.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 (RM64.6 bilion)," kata DOSM dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai kerja sektor pembinaan 2Q24 dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman, yang masing-masing mencatatkan peningkatan dua digit yang ketara kepada 25.2% dan 19.7%. 

 

Menurut beliau, selain itu, pertumbuhan sektor ini turut didorong pengembangan yang lebih kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas sebanyak 44.9% (1Q 2024: 11.8%) manakala subsektor bangunan bukan kediaman turut meningkat, dengan pertumbuhan sebanyak 7.2%.

 

“Daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM38.9 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2024, sejumlah RM15.2 bilion atau 39.0% disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.5 bilion) dan projek utiliti (RM5.6 bilion). 

 

"Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menyumbang RM10.6 bilion (27.4%) dan RM8.8 bilion (22.6%). 

 

bina

 

"Di samping itu, aktiviti pertukangan khas adalah sebanyak RM4.3 bilion (11.0%), terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik; dan pemasangan sistem paip, pemanasan dan pendingin udara, dengan kedua-duanya pada RM1.1 bilion,” katanya.

 

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dalam sektor pembinaan, menyumbang RM23.6 bilion atau 60.8% daripada jumlah nilai keseluruhan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Nilai kerja pembinaan capai RM36.8 bilion pada suku pertama 2024, meningkat 14.2%- DOSM

 

Katanya, sektor swasta mengekalkan momentum dua digit dengan pertumbuhan sebanyak 15.8% (1Q 2024: 10.1%), didorong oleh prestasi yang kukuh dalam subsektor bangunan kediaman (19.9%) dan aktiviti pertukangan khas (46.0%). 

 

"Begitu juga, nilai kerja oleh sektor awam mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 27.8% (1Q 2024: 20.6%) kepada RM15.3 bilion (sumbangan: 39.2%), yang dipacu terutamanya oleh subsektor Kejuruteraan awam dengan pertumbuhan sebanyak 23.8%," ujarnya.

 

dosm
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Mengulas mengenai sektor Pembinaan mengikut negeri pada suku kedua 2024,Dr. Mohd Uzir menyatakan, hampir 59% daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). 

 

Katanya, nilai pembinaan di Selangor berjumlah RM8.7 bilion atau 22.4%, disumbangkan oleh subsektor Kejuruteraan awam (RM3.0 bilion), diikuti oleh Bangunan kediaman (RM2.5 bilion) dan Bangunan bukan kediaman (RM2.3 bilion). 

 

"Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan nilai RM5.4 bilion atau 13.8%, terutamanya dalam subsektor Kejuruteraan awam (RM1.9 bilion) dan Bangunan bukan kediaman (RM1.8 bilion). 

 

"Pada masa yang sama, nilai kerja di Sarawak adalah RM4.5 bilion (11.7%), manakala Wilayah Persekutuan mencatatkan RM4.3 bilion (11.2%)," katanya.

 

Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi separuh pertama 2024, sektor ini mencatatkan nilai sebanyak RM75.7 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 17.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. 

 

"Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor, terutamanya oleh Kejuruteraan awam (25.0%) dan Bangunan kediaman (15.7%)," jelanya. - DagangNews.com