Nilai saham TNB diramal terus kukuh, RHB Investment semak naik TP kepada RM16.70 | DagangNews Skip to main content

Nilai saham TNB diramal terus kukuh, RHB Investment semak naik TP kepada RM16.70

TNB jadi pilihan RHB IB kerana kedudukannya sebagai proksi kepada peralihan tenaga. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA UMPUR 20 Ogos - Nilai saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepatutnya akan terus menaik disokong peningkatan permintaan tenaga yang dipacu bilangan pusat data yang semakin banyak.

 

RHB Investment Bank berkata, faktor lain termasuk pelaburan untuk bahagian penghantaran dan pengagihan (T&D) bagi mengukuhkan asas aset dan kunci kira-kira yang mantap untuk mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE).

 

Menurut firma penyelidikan itu, TNB juga menggantikan loji janakuasa arang batu dengan aset-aset berasaskan gas.

 

  

"Setakat Jun (Dis 2023: 12.5%), pegangan saham asing TNB menaik kepada 14.8%, namun ia masih berada di bawah paras puncak 28.7% yang direkodkan pada tahun 2016," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment berkata, saranan 'Beli' dikekalkan dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM16.70 daripada RM16.10 dengan potensi kenaikan harga saham 20% dan kadar hasil dividen sekitar 4% untuk tahun kewangan 2025 (FY25).

 

"TNB terus menjadi saham pilihan kami memandangkan ia berperanan sebagai proksi kepada usaha peralihan tenaga Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). 

 

"TNB juga sepatut terus menerima manfaat daripada usaha berterusan dalam menaik taraf aset-aset penghantaran dan pengagihan tenaga kerana pembinaan pusat data (DC) yang semakin rancak akan memperkukuh permintaan tenaga," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu tidak menolak kemungkinan yang perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi beberapa loji gas yang akan tamat tidak lama lagi akan diperbaharui.

 

Kata RHB IB, syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) berasaskan gas yang berpengalaman seperti TNB mungkin akan meraih kelebihan daripada peningkatan kapasiti gas tambahan dalam jangka Panjang.

 

"Ini memandangkan sumber bahan api ini akan menggantikan penggunaan arang batu," ujar firma tersebut. - DagangNews.com