Nor Azam M. Taib lepaskan jawatan CEO MBSB Bank pada 30 Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

Nor Azam M. Taib lepaskan jawatan CEO MBSB Bank pada 30 Jun 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Mei - Malaysia Building Society Bhd (MBSB) mengumumkan Datuk Nor Azam M. Taib akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif MBSB Bank Bhd pada 30 Jun 2024.

 

Nor Azam menyertai MBSB pada November 2010 dan memegang jawatan sebagai ketua pegawai perniagaan pada 2018 sebelum dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif MBSB Bank pada Julai 2022.

 

Pengerusi MBSB, Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, Nor Azam telah memainkan peranan penting dalam membantu membentuk MBSB, yang dahulunya sebuah entiti pembinaan, menjadi kumpulan perbankan yang dihormati.

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nor Azam atas kepimpinannya semasa kita berkembang dalam ruang perbankan Islam”, kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam perutusan perpisahannya, Nor Azam berkata, masa beliau di MBSB Bank telah memberi ganjaran dan memperkaya kerana saya berpeluang menyumbang kepada pencapaian penting bank.

 

"Dengan saya bakal memulakan usaha baru, saya mengucapkan terima kasih yang tulus kepada ahli lembaga pengarah, kepimpinan kanan dan pekerja atas pengalaman yang tidak ternilai, dan saya berharap pasukan terus berjaya," ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef turut mengucapkan terima kasih kepada Nor Azam.

 

"Bagi pihak MBSB, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nor Azam atas perkhidmatan beliau, khususnya kepada MBSB Bank dan kepada Kumpulan.

 

"Beliau memainkan peranan penting dalam mengemudi bank ke arah kedudukan yang lebih kukuh dalam industri. Saya bersyukur kerana sumbangan Nor Azam yang luar biasa dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan."

 

Pengganti Nor Azam akan diumumkan pada satu tarikh lain, kata MBSB. - DagangNews.com