Northport rangkul Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik daripada MOT | DagangNews Skip to main content

Northport rangkul Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik daripada MOT

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Northport (Malaysia) Bhd. memenangi Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan
Terbaik atas inisiatifnya mengekalkan standard amalan keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja, terutama semasa pandemik COVID-19.

 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham  Ishak dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan KiLAT di Kementerian Pengangkutan (MOT), Putrajaya.

 

Majlis ini adalah acara yang julung kali dianjurkan bagi mengiktiraf syarikat dan individu di dalam industri Pengangkutan dan Logistik di atas pencapaian prestasi yang cemerlang.

 

 

northport
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof (kanan) menerima anugerah tersebut dari Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham  Ishak dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan KiLAT di Kementerian Pengangkutan (MOT), Putrajaya baru-baru ini.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, dalam menguruskan pandemik COVID-19, Northport telah mewujudkan dan melaksanakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) dengan berkesan bagi memastikan langkah-langkah yang mencukupi disediakan demi kesinambungan operasi dan jaminan perniagaan Northport sepanjang pandemik.

 

Katanya, ia meliputi bidang risiko operasi perniagaan utama seperti aset, kakitangan dan pembekal.

 

“BCP Northport terdiri daripada langkah-langkah yang perlu diambil dalam menguruskan wabak seperti pengaktifan Pasukan Tindak Balas Krisis, kawalan pintu masuk dari darat dan laut, pengurusan pengesanan kontak, pengurusan PPE, pengaktifan mod operasi berasingan dan penggiliran, komunikasi dan kesedaran, serta pengurusan kerja-kerja disinfeksi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BCP telah membantu Northport meminimumkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada kakitangannya dan pengguna pelabuhan, dengan memastikan perancangan yang mencukupi disediakan sekiranya jangkitan virus berlaku di dalam terminal, serta memastikan pengaturan alternatif dengan pembekal dan pelanggan diwujudkan demi kesinambungan perniagaan Northport.

 

Memandangkan sektor pelabuhan dikategorikan di bawah perkhidmatan penting yang terus beroperasi 24 jam 7 hari seminggu bagi memastikan ekonomi negara dan pergerakan barangan tidak terganggu, Northport telah meningkatkan usaha untuk memastikan kakitangannya menerima vaksin sepenuhnya.

 

Ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), Westports Malaysia Sdn Bhd (Westports) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di dalam penganjuran program vaksinasi swasta pertama bagi sektor pengangkutan dan maritim di Malaysia, di bawah Kementerian Pengangkutan pada Jun 2021.

 

Komitmen Northport terhadap keselamatan dan kesihatan telah diperakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa pengiktirafan dan anugerah.

 

Pada April 2019, Northport menjadi pelabuhan Malaysia pertama yang dianugerahkan piawaian ISO 45001:2018. Pensijilan tersebut menzahirkan komitmen Northport dalam mengendalikan perniagaan dan aktivitinya pada tahap tertinggi untuk sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh organisasi. - DagangNews.com