NPC Resources cadang lupus 13 ladang kelapa sawit bernilai RM165 juta kepada Tamaco Plantation | DagangNews Skip to main content

NPC Resources cadang lupus 13 ladang kelapa sawit bernilai RM165 juta kepada Tamaco Plantation

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - NPC Resources Bhd menerusi tiga anak syarikatnya iaitu Berkat Setia Sdn Bhd (BSSB), Bonus Indah Sdn Bhd (BISB) dan Kian Merculaba Sdn Bhd (KMSB) akan melupuskan 13 tanah kelapa sawit bernilai RM165 juta di Sabah kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, BSSB akan menjual enam petak tanah seluas 251,324 hektar bernilai RM5,529,128 yang terletak di daerah Labuk dan Sugut, Sabah.

 

Katanya, BISB pula akan melepaskan tiga ladang miliknya di kawasan sama seluas 4,954 hektar pada harga RM108,988,000 manakala KMSB akan menjual empat ladang mereka seluas 2,299 hektar bernilai RM50,594,500 di daerah sama kepada kepada syarikat itu.

 

Tawaran adalah tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian/kontrak jual beli yang akan menetapkan terma dan syarat penuh yang dipersetujui antara penjual dan pembeli.

 

"Kelulusan pemegang saham diperlukan untuk cadangan pelupusan itu.

 

"Tertakluk kepada semua terma yang dipersetujui bersama antara kesemua pihak, mereka hendaklah meneruskan pelaksanaan SPA (perjanjian jual beli) dalam masa tiga puluh hari dari tarikh penerimaan tawaran iaitu pada 6 Februari 2024 atau mana-mana tempoh lanjutan yang dipersetujui," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, tanah itu akan dijual dalam keadaan sedia ada dan bebas bebanan berkaitan termasuk bangunan dan struktur yang didirikan di atasnya.

 

Katanya, pemilikan hartanah yang kosong hendaklah diserahkan kepada pembeli selepas penyelesaian penuh harga belian.- DagangNews.com