NTT Global lancar pusat data baharu bernilai AS$50 juta di Cyberjaya | DagangNews Skip to main content

NTT Global lancar pusat data baharu bernilai AS$50 juta di Cyberjaya

Pusat data Cyberjaya 6 di kampus NTT Cyberjaya - Gambar/MIDA

KUALA LUMPUR 11 Okt - NTT Global Data Centers Corporation yang merupakan anak syarikat NTT Ltd, syarikat perkhidmatan dan infrastruktur teknologi maklumat (IT), melancarkan pusat data baharu di Cyberjaya dengan pelaburan bernilai lebih AS$50 juta (RM234 juta). 

 

Pelancaran Cyberjaya 6 (CBJ6) itu, pusat data keenam di kampus NTT Cyberjaya, selari dengan visi pertumbuhan digital Malaysia untuk menjadi 'Harimau Digital Asia' menjelang 2025, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan NTT dalam satu kenyataan.

 

"CBJ6 mempunyai beban IT kritikal tujuh megawatt, 4,890 meter persegi ruang, dua pencawang 33 kilovolt dengan penerimaan kuasa yang pelbagai dan teknologi dinding penyejuk termaju untuk mengekalkan persekitaran yang stabil bagi densiti tinggi sehingga 15 kilowatt," kata kenyataan itu, lapor Bernama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pengembangan berterusan NTT di Malaysia adalah bukti kukuh keyakinan syarikat tersebut terhadap keupayaan Malaysia sebagai hab pusat data di rantau ini.

 

"Sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), MIDA akan terus menarik projek berteknologi tinggi strategik yang akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terhubung secara digital, bercirikan infrastruktur digital meluas dan berkualiti tinggi," katanya.

 

Beliau berkata, Malaysia memperoleh reputasi tinggi dalam sektor pusat data global, khususnya di rantau Asia Tenggara.

 

Arham berkata, berdasarkan laporan Technavio, saiz pasaran pusat data negara dianggarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 16.15% antara 2022 dan 2027 dan diunjur meningkat sebanyak AS$2.91 bilion (RM13.68 bilion).

 

Sementara itu, Pengarah Urusan NTT Global Data Centres Malaysia, Ho Yee Chung berkata, kampus NTT Cyberjaya berkembang selari dengan pertumbuhan digital Malaysia sejak dua dekad yang lalu.

 

"Pusat Data Global NTT Malaysia berjaya mengekalkan ketersediaan tinggi sepanjang masa, hasil usaha keras pasukan pakar kami yang terdiri daripada 60 jurutera dan pengendali.

 

"Dengan pelancaran CBJ6, kami percaya kami adalah penyedia utama perkhidmatan pusat data, menawarkan kemudahan dan kepakaran moden yang diperlukan oleh pusat data besar di Malaysia," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, kabel dasar laut MIST yang akan dimulakan tidak lama lagi, dibina oleh NTT sebagai salah satu pemegang saham, bakal merevolusikan kesalinghubungan di Pusat Data NTT Cyberjaya, meningkatkan kesalinghubungan rangkaian global Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan.

 

"Kabel itu yang menjangkau 8,100 kilometer akan menghubungkan Malaysia, India, Singapura dan Thailand dengan lancar, dengan kapasiti pasangan 12 gentian yang mampu menghantar lebih 200 terabit sesaat data," katanya. - DagangNews.com