Nurjesmi Mohd Nashir dilantik sebagai CEO baharu Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Nurjesmi Mohd Nashir dilantik sebagai CEO baharu Affin Hwang

Nurjesmi Mohd Nashir
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Affin Group mengumumkan pelantikan Nurjesmi Mohd Nashir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Affin Hwang Investment Bank Bhd berkuat kuasa 1 Jun 2023.

 

Kumpulan dalam kenyataan hari ini berkata, Nurjesmi berpengalaman lebih 25 tahun dalam industri perbankan dan modal pasaran. 

 

Katanya, sebelum menyertai Affin Hwang, beliau adalah seorang Pengarah Eksekutif dan Ketua Bank Korporat Global di J.P. Morgan Chase Bank Bhd.

 

"Nurjesmi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Syracuse, New York memulakan kerjayanya dalam industri pembrokeran sebagai Penganalisis Ekuiti di Maybank Securities dan
kemudian di Arab Malaysian Securities dari 1994 hingga 1996. 

 

"Beliau menyertai Citibank Bhd bahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 1996, sebelum memegang peranan berturut-turut dalam perbankan korporat.

 

"Beliau seterusnya dilantik sebagai ketua sektor awam yang menyelia sebahagian besar portfolio syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehingga 2013 di institusi perbankan yang sama," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pelantikan Nurjesmi meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik untuk mengemudi Affin Hwang ke arah fasa pengembangan seterusnya, membina pencapaian dan menjamin bahawa bank secara konsisten  'Out Think. Out Perform' untuk pelanggannya.

 

 

affin

 

"Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kumpulan AFFIN mengucapkan selamat datang kepada Nurjesmi dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang," katanya. - DagangNews.com