Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 28 Jun - Orang Kurang Upaya (OKU) yang kehilangan kerja atau tidak bekerja dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada bakal menerima bantuan kewangan RM500 untuk tempoh tiga bulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20,000 orang OKU.
"Kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing golongan OKU dan gelandangan dalam perniagaan.
"Sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40,000 individu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan seperti berikut;
PERTAMA
- Membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan sehingga 31 Disember 2021
KEDUA
- Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik
KETIGA
- Membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan
perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak. - DagangNews.com