Omnia pacu hasil Media Prima, kembali catat untung bersih RM55.23 juta bagi FY21 | DagangNews Skip to main content

Omnia pacu hasil Media Prima, kembali catat untung bersih RM55.23 juta bagi FY21

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - Media Prima Bhd. merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM28.94 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, melonjak 53.6% daripada RM18.84 juta bagi tempoh sama 2020. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 5.97% kepada RM315.9 juta berbanding RM298.09 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Peningkatan itu didorong jualan pengiklanan yang kukuh menerusi kempen awal pemasaran bagi sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), syarikat gergasi media ini kembali meraih keuntungan bersih berjumlah RM55.23 juta, berbanding kerugian bersih yang dialaminya pada tempoh kewangan 2020 sebanyak RM18.38 juta. 

 

Untuk tempoh itu, pendapatan meningkat 8% kepada RM1.12 bilion daripada RM1.04 bilion terutamanya disumbangkan menerusi pertumbuhan hasil pengiklanan daripada jualan segmen Omnia.

 

Secara keseluruhan, hasil Omnia meningkat 79% berbanding FY20, sejajar dengan peningkatan hasil pengiklanan kumpulan dalam tempoh berkenaan. 

 

Peningkatan dalam hasil segmen juga disebabkan oleh cabang jualan pengiklanan luar kumpulan yang disatukan di bawah Omnia pada separuh kedua 2021.

 

Mengenai prospek kumpulan, Media Prima menjangkakan perbelanjaan pengiklanan lebih tinggi tahun ini seiring dengan petunjuk ekonomi yang positif oleh Bank Negara Malaysia.

 

Katanya, Media Prima Omnia, yang merupakan cabang jualan kumpulan akan memberi fokus kepada sektor ekonomi yang dijangka mendapat manfaat daripada penarikan balik sekatan pergerakan dan berusaha untuk menawarkan penyelesaian pengiklanan yang lebih inovatif untuk pengiklan.

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan akan memberi tumpuan mengekalkan prestasi dengan mempercepatkan usaha menjana pendapatan untuk perniagaan pengiklanan, digital dan perdagangan di samping memantau inisiatif pengurusan kos kami secara berterusan.

 

"Kumpulan juga akan terus meninjau kerjasama yang lebih strategik untuk berkembang lebih jauh, sekali gus meningkatkan kelebihan daya saingnya," katanya. - DagangNews.com