Oppstar catat untung bersih sebanyak RM5.5 juta bagi 4QFY23 didorong hasil segmen reka bentuk pasang siap | DagangNews Skip to main content

Oppstar catat untung bersih sebanyak RM5.5 juta bagi 4QFY23 didorong hasil segmen reka bentuk pasang siap

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Oppstar Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.5 juta bagi suku tahun keempat berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23).

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil kira-kira RM14.48 juta dan RM57.90 juta masing-masing bagi suku semasa dalam tinjauan dan tahun kewangan dalam tinjauan.

 

Hasil Kumpulan bagi suku semasa dalam tinjauan dan tahun kewangan dalam tinjauan kebanyakannya diperoleh daripada perkhidmatan reka bentuk siap pakai.

 

"Kira-kira 76.35% daripada jumlah hasil kumpulan disumbangkan daripada perkhidmatan reka bentuk pasang siap pada tahun kewangan dalam tinjauan.

 

"Ini berpunca daripada projek reka bentuk pasang siap yang diperoleh daripada pelanggan yang berpangkalan di Asia Utara dan Asia Tenggara," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, mereka memperoleh perkhidmatan reka bentuk yang lebih khusus dan permintaan perkhidmatan pengesahan pasca silikon pada tahun kewangan dalam tinjauan.

 

Kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek masa depan memandangkan prospek industri semikonduktor yang semakin lemah.

 

Mereka tidak menjangkakan sebarang perubahan ketara dalam bidang geografi utama perniagaan dalam tempoh terdekat kerana mereka terus meneroka peluang perniagaan baharu melalui rakan kongsi perniagaan baharu semasa dan berpotensi.

 

"Kumpulan akan terus melaksanakan strategi seperti yang diperuntukkan dalam prospektus termasuk memperluaskan jejak reka bentuk IC ke luar negara terutamanya dalam pasaran di mana kumpulan mempunyai kelebihan daya saing.

 

"Mengenai pengambilan bakat utama, kumpulan optimis dengan keupayaannya untuk melaksanakan rancangan dan untuk memenuhi objektif pertumbuhan perniagaan dalam jangka sederhana," katanya. - DagangNews.com