Optimis dengan prospek Ancom Nylex, Kenanga Research mulakan liputan dengan 'outperform' | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek Ancom Nylex, Kenanga Research mulakan liputan dengan 'outperform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kenanga Research mulakan liputan terhadap Ancom Nylex Bhd. dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran RM1.80 sesaham. 

 

Menurutnya, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk meraih permintaan produk alternatif kepada paraquat yang telah diharamkan di negara termasuk Malaysia dan Thailand sejak 2020.

 

Ia menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan eksport bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2022 (FY22) sebanyak 58% tahun ke tahun (merangkumi sekitar 70% daripada jumlah jualan).

 

"Susulan pemansuhan paraquat semakin meningkat, prestasi eksportnya sepatutnya berkembang pada FY23 hingga FY24.

 

"Malah, kumpulan menyasarkan untuk menguasai separuh daripada pasaran paraquat di Thailand menjelang 2026 (daripada hanya 10% pada 2020), atau anggaran jualan kira-kira RM150 juta setahun," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada FY22, Ancom Nylex melancarkan dua produk rumusan aktif (AI) iaitu Bromacil dan Ester yang disasarkan untuk tanaman nanas dan bijirin.

 

Kumpulan itu menjangkakan dapat menguasai sekitar 10% daripada pasaran yang berpotensi menjana kira-kira RM50 juta setahun dengan kos lebih menguntungkan dan harga yang kompetitif.

 

Selain itu, ia juga merancang untuk melancarkan AI baharu khusus untuk tebu, yang akan menyaksikan permintaan dari Brazil dan Afrika Selatan diikuti oleh AI baharu yang lain pada tahun hadapan atau seterusnya.

 

Kenanga Research juga melihat persaingan dijangka kekal terurus kerana kumpulan hanya menyasarkan produk terpilih, yang kebanyakannya jika tidak semuanya adalah produk yang dikawal ketat.

 

"Secara keseluruhan, kami menyukai Ancom Nylex kerana ia merupakan pengeluar AI racun perosak berasaskan herba terbesar di Asia Tenggara dan meraih manfaat daripada larangan terhadap penggunaan paraquat.

 

"Selain itu, ia juga menjadi proksi kepada matlamat pengeluaran dan keselamatan makanan global," jelasnya.

 

Setakat 11.24 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.86% kepada RM1.17 dengan 890,700 saham diniagakan. - DagangNews.com