Ornapaper beli dua tanah bernilai RM30.75 juta di Melaka | DagangNews Skip to main content

Ornapaper beli dua tanah bernilai RM30.75 juta di Melaka

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Anak syarikat Ornapaper Bhd, Ornapaper Industry (M) Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan Faithview Group Development Sdn Bhd bagi cadangan pengambilalihan dua lot kosong pegangan pajak bernilai RM30.75 juta.

 

Kedua-dua bidang tanah itu terletak di Mukim Krubong, Melaka dan pertimbangan pembelian masing-masing pada RM18.52 juta dan RM12.23 juta, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia semalam.

 

Syarikat pengilang pembungkusan kertas itu berkata cadangan pengambilalihan itu mewakili peluang bagi kumpulan untuk membina simpanan tanahnya pada harga berpatutan bagi tujuan pelaburan jangka panjang.

 

Jelasnya, ia membolehkan kumpulan itu membuat rancangan strategik dan keputusan untuk memperbaiki prospek masa depannya.

 

Dengan mengecualikan sebarang keadaan yang tidak dijangka, Ornapaper menjangkakan cadangan pengambilalihan itu akan selesai menjelang suku kedua 2024.

 

Pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), Ornapaper telah mencatat kerugian bersih sebanyak RM76,000 berbanding keuntungan bersih RM1.79 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu telah susut 19% pada suku tersebut kepada RM71 juta daripada RM87.8 juta sebelumnya.

 

Saham Ornapaper dibuka naik 4.5 sen atau 4.9% kepada 96 sen, memberikannya modal pasaran berjumlah RM72.2 juta. - DagangNews.com