OSK Holdings catat untung bersih RM115 juta dalam 1QFY23 dipacu peningkatan pada semua segmen perniagaan | DagangNews Skip to main content

OSK Holdings catat untung bersih RM115 juta dalam 1QFY23 dipacu peningkatan pada semua segmen perniagaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - OSK Holdings Berhad telah mencatat kenaikan keuntungan bersih sebanyak 36% kepada RM115 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM84.4 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu juga telah meningkat 9% kepada RM333 juta berbanding RM306 juta sebelumnya.

 

Peningkatan pada suku semasa telah dipacu oleh prestasi operasi merentas semua segmen perniagaan yang  bertambah baik, disokong oleh sentimen kukuh pengguna, keadaan pasaran buruh kian pulih dan pemulihan aktiviti pelancongan.

 

Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) turut menokok kepada 5.58 sen berbanding 4.09 sen dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Ong Leong Huat yang berpuas hati dengan prestasi 1QFY23 berkata peningkatan prestasi operasi, walaupun paras inflasi meningkat, didorong oleh perkembangan hasil dan permintaan untuk hartanah, pembinaan, perkhidmatan kewangan, pembuatan dan produk pelancongan kumpulan, sejajar dengan trajektori menaik ekonomi negara pada suku pertama 2023.

 

“Walaupun terdapat ketidaktentuan global, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang pada tahun akan datang di samping kami secara aktif mengembangkan bahagian pasaran, berinovasi dan menambah baik produk kami, sambil mengurus asas kos dan mengoptimumkan margin kami.

 

“Ini telah memacu peningkatan berterusan prestasi kewangan pasca pandemik yang didayakan oleh pendekatan dan pengurusan berhemat kewangan kumpulan justeru kami yakin FY23 akan menjadi satu lagi tahun yang memuaskan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

OSK Holdings berkata prospek yang stabil dikekalkan di bahagian pembangunan hartanah di Malaysia dengan pengiktirafan progresif pendapatan daripada pengebilan kemajuan projek yang sedang berjalan, disokong oleh segmen permbinaan yang komited untuk menyampaikan buku pesanan tertunggak semasa berjumlah RM415.1 juta setakat 31 Mac 2023.

 

Menurut kumpulan itu, jumlah jualan hartanah tidak dibilkan kekal kukuh pada RM1 bilion disebabkan kadar pengambilan yang tinggi untuk projek pembangunan hartanah baharu dan sedang berjalan, dengan bekalan siap tidak terjual yang minimum.

 

Di samping itu, bank tanah kumpulan pada suku semasa berjumlah 2,002 hektar yang terletak di seluruh Lembah Klang, Sungai Petani, Butterworth, Kuantan, dan Seremban di Malaysia serta di Melbourne, Australia dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berkesan sebanyak RM16.2 bilion.

 

Saham OSK Holdings pada pukul 3:00 petang hari ini menokok 0.5 sen atau 0.5% kepada 97 sen dengan modal pasaran lebih RM2 bilion. -DagangNews.com