KUALA LUMPUR 8 Jun - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mengelak daripada melantik bekas ketua setiausaha kementerian sebagai ketua juruaudit seterusnya.
Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata ketua juruaudit negara akan datang mesti mempunyai latar belakang perakaunan dan pengauditan bagi memberi nilai tambah kepada Jabatan Audit Negara untuk menjalankan tugas mereka.
“Melantik bekas ketua setiausaha kementerian sebagai ketua juruaudit seterusnya harus dielakkan walaupun justifikasinya mereka tahu selok belok pentadbiran awam.
"Tetapi, adalah lebih baik untuk mempunyai seseorang yang mempunyai latar belakang profesional dalam kewangan dan pengauditan," katanya hari ini.
Mas Ermieyati berkata jawatan itu telah ditinggalkan kosong selama empat bulan sejak Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid bersara pada 23 Feb lepas.
Beliau berkata perkara itu wajar diberi perhatian kerana hanya seorang juruaudit negara boleh membentangkan laporan audit kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, mengikut Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai contoh, beliau berkata Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 dan Laporan Ketua Audit Negara Penyata Agensi Persekutuan 2021 tidak boleh dikendalikan tanpa juruaudit negara.
Laporan itu kini dijangka dibawa dalam sidang parlimen akan datang pada Oktober.
"Ini membebankan Jabatan Audit Negara dan PAC kerana terdapat banyak laporan yang perlu diteliti," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata pembiayaan kerajaan kepada Jabatan Audit Negara juga tidak mencukupi.
"Ini merencatkan kerja yang dijalankan oleh jabatan itu ditambah dengan langkah parlimen untuk membincangkan usul laporan itu." tambahnya. - DagangNews.com