KUALA LUMPUR 14 Julai - Orang ramai boleh memadamkan aplikasi perkhidmatan e-hailing MyCar dan memuat turun aplikasi baharunya yang dikenali sebagai MyCar Super App.
Pengasas MyCar, Mohd. Noah Maideen berkata, platform media MyCar dinaiktaraf kepada aplikasi baharu bagi tujuan penyelesaian yang lebih berkesan.
"Transformasi MyCar ini menawarkan penghantaran makanan dan minuman halal (MyCar Eats), penghantaran barangan (MyCar Delivery) dan pembelian dalam talian (MyCar Shop).
"Aplikasi baharu ini sudah boleh digunakan sekarang. Dengan hanya satu klik, aplikasi ini memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih perkhidmatan yang disediakan. Ia adalah mesra pengguna dan menjimatkan masa," katanya seperti dipetik Bernama.
MyCar adalah aplikasi e-hailing terbaharu di Malaysia yang memulakan operasi sekitar Februari 2019.
Dimiliki penuh oleh Platform Apps Sdn. Bhd., aplikasi itu dibangunkan menerusi teknologi terkini dengan kerjasama syarikat teknologi maklumat dari Amerika Syarikat (AS).
Platform tersebut menawarkan lima jenis kenderaan mengikut pilihan pengguna bagi kelas ekonomi, premium, MPV kompak, MPV premium dan teksi melalui kerjasama syarikat teksi lain.
Pengenalan terbaharu MyCar Super App itu bertujuan untuk memudahkan urusan harian pengguna bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat COVID-19.
Jelas Noah lagi, pelancaran rasmi aplikasi terbaharu itu dijadual berlangsung pada 8 Ogos dan penghantaran makanan MyCar juga dijangka beroperasi pada bulan sama.
"Aplikasi penghantaran barangan dan pembelian dalam talian pula akan dijadual selepas itu selain ruang iklan turut ditawarkan menerusi rangkaian tersebut," katanya lagi.
Susulan itu, Platform Apps Sdn. Bhd. meminta pengguna untuk memuat turun 'MyCar Super App' melalui Google Playstore dan Apple Store serta memadamkan aplikasi lama. - DagangNews.com