Pandemik COVID-19 jejaskan untung bersih, pendapatan OpenSys bagi Q3  | DagangNews Skip to main content

Pandemik COVID-19 jejaskan untung bersih, pendapatan OpenSys bagi Q3 

 

 


KUALA LUMPUR 22 Nov - Untung bersih OpenSys (M) Bhd. susut sedikit kepada RM3.03 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 daripada RM3.07 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Penyedia penyelesaian utiliti, telekomunikasi dan perkhidmatan itu merekodkan pendapatan sebanyak RM14.84 juta, susut 37.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak RM23.89 juta. 

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, pendapatan kumpulan menurun kepada RM43.47 juya daripada RM61.18 juta yang direkodkan tempoh sama tahun lalu. 

 

Penurunan itu terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah daripada pelancaran pengurusan perhubungan pengguna (CRM) kepada pelanggan perbankan disebabkan pandemik COVID-19.

 

Di sebalik pendapatan yang lemah ini, kumpulan merekodkan untung bersih lebih tinggi pada RM7.64 juta, meningkat 4.6% daripada RM7.31 juta disokong pertumbuhan lebih tinggi dalam segmen penyelesaian dan perkhidmatan dalam tempoh berkenaan.

 

Selaras dengan amalan dividen suku tahunannya, OpenSys mengisytiharkan dividen interim keempatnya sebanyak 0.25 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Beserta dividen interim pertama, kedua dan ketiga sebanyak 0.25 sen sesaham setiap satu, Kumpulan telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys, Eric Lim berkata, kumpulan kekal optimis aktiviti perniagaan akan kembali meningkat beberapa suku akan datang didorong pembukaan semula ekonomi.

 

"Apabila sekatan pergerakan dilonggarkan, kami kini boleh memulakan pemasangan lebih banyak kemudahan pembayaran secara digital menerusi X-Kios di lokasi sasaran kami yang menjadi tumpuan B40 dan pekerja asing. 

 

"Malah, kami juga boleh meneruskan semula tinjauan tapak kami dan pemasangan buySolar serta meningkatkan aktiviti pemasaran," jelasnya.

 

Mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, kumpulan akan terus memberi keutamaan kepada penjimatan tunai dan kawalan kos. 

 

"Ini termasuk menjana aliran pendapatan baharu dalam perkhidmatan perolehan pedagang, kios menambah nilai e-dompet, marketplace solar dalam talian dan perkhidmatan penghantaran yang terjamin bagi meningkatkan untung bersih dan pendapatan kumpulan," katanya. - DagangNews.com