Panglima Tentera Udara hadir Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023, rasmikan Pavilion Malaysia disertai 14 syarikat tempatan | DagangNews Skip to main content

Panglima Tentera Udara hadir Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023, rasmikan Pavilion Malaysia disertai 14 syarikat tempatan

Mohd. Asghar Khan (dua dari kiri) diberikan penerangan tentang salah sebuah pesawat yang dipamerkan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 Jun - Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan menyertai delegasi antarabangsa apabila hadir pada Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023 (International Paris Air Show) di Perancis.

 

Acara berprestij ini berlangsung pada 19 hingga 25 Jun di Lapangan Terbang Antarabangsa Le Bourget, Perancis. 

 

Pameran Udara Antarabangsa Paris merupakan acara dwi tahunan, namun tidak diadakan pada tahun 2021 berikutan pandemik Covid-19. 

 

Edisi ke-54 tahun ini dianjurkan oleh SIAE, anak syarikat GIFAS, French Aerospace Industries Association yang mana empat hari pertama dihadiri pengunjung perdagangan.

 

Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023 menyaksikan kehadiran lebih 300,000 pengunjung.
Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023 menyaksikan kehadiran lebih 300,000 pengunjung.

 

Presiden Perancis, Emmanuel Macron hadir merasmikan Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron hadir merasmikan Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023.

 

Tiga hari terakhir pameran ini dibuka kepada pengunjung awam.

 

Majlis pembukaan pameran udara ini telah dirasmikan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

 

Pameran udara terbesar dunia tahun ini menyasar kehadiran 139,840 pelawat perdagangan dari 185 negara dan 176,630 pengunjung awam.

 

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Dassault Aviation, syarikat gergasi aeroangkasa Perancis yang membangunkan pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) jet perniagaan di Lapangan Terbang Subang.

 

Turut serta Airbus, ATR, Embraer, Voltaero, Potez, Lockheed Martin, NH Industries, Marganski & Mylowski, Pipistrel dan Volocopter.

 

Mohd. Asghar Khan (dua dari kiri) melihat helikopter tempur ATAK buatan Turkiye.
Mohd. Asghar Khan melihat helikopter tempur TAI T929 ATAK 2 buatan Turkiye.

 

Delegasi PTU turut disertai Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brigadier Jeneral Mohd. Kahar Mohd Kassim selaku pegawai pengiring.

 

Kehadiran Mohd. Asghar Khan pada acara ini penting terutama ke arah memperkasakan jalinan kerjasama antara rakan strategik antarabangsa melalui platform pameran antarabangsa.

 

Beliau turut memanfaatkan peluang pada perjumpaan bersama Panglima-Panglima Tentera Udara dan wakil daripada negara yang hadir iaitu Perancis, Singapura, Thailand, Indonesia, Hungary dan Brazil. 

 

Selain itu, PTU terlibat dalam beberapa mesyuarat bilateral yang secara tidak formal dalam membincangkan penglibatan dan kerjasama hubungan pertahanan khususnya dalam domain aeroangkasa.

 

Menerusi platform ini ia dapat mengukuhkan hubungan yang telah sedia terjalin antara negara-negara terlibat selain perkongsian pandangan di antara pemimpin.

 

Mohd. Asghar Khan (tiga dari kiri) bersama Mohd Zamruni (dua dari kanan) semasa merasmikan Pavilion Malaysia.
Mohd. Asghar Khan (tiga dari kiri) bersama Mohd Zamruni (dua dari kanan) semasa merasmikan Pavilion Malaysia.

 

Wakil syarikat tempatan yang menyertai Pavilion Malaysia menerima plak penghargaan daripada Mohd. Asghar Khan.
Wakil syarikat tempatan yang menyertai Pavilion Malaysia menerima plak penghargaan daripada Mohd. Asghar Khan.

 

Pada acara sama, Mohd. Asghar Khan diberikan penghormatan untuk merasmikan Pavilion Malaysia bersama Duta Malaysia ke Perancis, Dato’ Mohd. Zamruni Khalid.

 

Pavilion Malaysia dijayakan menerusi inisiatif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

 

Ia mempamerkan penyertaan 14 syarikat tempatan yang terbabit dalam sektor aeroangkasa khususnya pembuatan dan perkhidmatan.

 

Turut dianjurkan ialah sesi seminar 'Malaysia-France Aerospace Industry Collaboration for Future Resilience' melibatkan 25 buah syarikat aeroangkasa Perancis serta pihak penganjur pameran, GIFA.

 

Syarikat tersebut seperti Safran, Figeac Aero dan Thales yang telah bertapak di Malaysia sejak 20 tahun lalu.

 

Malaysia juga khususnya Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan lain merupakan pengguna terbesar aset udara buatan Perancis khususnya helikopter meliputi pelbagai variasi. - DagangNews.com