Subsidi bersasar RON95: Sila permudahkan komunikasi agar rakyat mudah faham | DagangNews Skip to main content

Subsidi bersasar RON95: Sila permudahkan komunikasi agar rakyat mudah faham

Saudara Pengarang,

 

Saya menyambut baik langkah kerajaan untuk memperkenalkan subsidi bersasar bagi RON95 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini. Dalam keadaan ekonomi mencabar, subsidi bersasar ini adalah keputusan bijak bagi memastikan bantuan hanya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 

 

Langkah ini membolehkan dana negara disalurkan dengan lebih efektif ke arah sektor penting seperti kesihatan, pendidikan, dan pembangunan infrastruktur.

 

 

 

Namun begitu, isu yang membelenggu perubahan subsidi ini bukanlah dasar itu sendiri tetapi kekalutan komunikasi ekoran pengumuman tersebut. Sejak pengumuman dibuat, rakyat disajikan dengan pelbagai kenyataan bercanggah daripada menteri-menteri yang sepatutnya memberikan maklumat yang konsisten dan jelas.

 

Ambil sahaja kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan 85% rakyat Malaysia masih akan menikmati subsidi ini. Kenyataan itu telah menimbulkan persoalan kerana beberapa hari kemudian, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengusulkan konsep dua struktur yang akan membezakan harga mengikut pendapatan serta memperkenalkan kategori “T15” untuk golongan berpendapatan tinggi. Namun, sehingga kini, definisi “T15” sendiri belum dimuktamadkan.

 

Kemudian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mencadangkan penggunaan MyKad di stesen minyak bagi mengehadkan subsidi hanya kepada warganegara Malaysia.

 

Tidak lama selepas itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican pula dipetik media mengatakan bahawa kerajaan sedang menimbang sistem subsidi yang mirip subsidi elektrik.

 

Kenyataan-kenyataan bercanggah ini hanya mengundang kerisauan dalam kalangan rakyat. Apakah pelan Kerajaan sebenarnya? Adakah dasar subsidi ini dirancang secara teliti atau sekadar panduan kasar yang masih belum ada kesepakatan?

 

Berdasarkan pengalaman dengan rasionalisasi subsidi diesel pada pertengahan tahun ini, Kerajaan mampu melaksanakan komunikasi yang jelas dan konsisten. Mesej yang disampaikan adalah mudah difahami dan konsisten, tanpa mengelirukan.

 

Untuk reformasi subsidi RON95 ini, kerajaan perlu belajar daripada contoh tersebut. Adalah wajar sekiranya kerajaan melantik satu kementerian khusus—sama ada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup—sebagai peneraju dalam mengendalikan komunikasi mengenai dasar subsidi ini. 

 

Apabila hanya satu pihak yang bertanggungjawab secara langsung, komunikasi akan lebih tersusun dan rakyat tidak akan terus terperangkap dalam permainan "siapa cakap betul, siapa cakap salah."

 

Jika komunikasi tidak diperbaiki, ia hanya akan memburukkan lagi kekeliruan, kebimbangan, dan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat.

 

Ini bukan lagi soal hubungan awam semata-mata; komunikasi yang jelas dan tepat adalah prasyarat penting untuk memastikan reformasi ini mendapat sokongan rakyat dan dilaksanakan dengan lancar. - DagangNews.com

 

 

Abdul Latif Abdul Hakim adalah pembaca DagangNews.com yang menghantar pendapatnya menerusi emel suratpembaca@dagangnews.com