Paramount bakal lancarkan projek hartanah dengan GDV bernilai RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Paramount bakal lancarkan projek hartanah dengan GDV bernilai RM1.1 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Mei - Paramount Corp Bhd menyasarkan untuk melancarkan projek hartanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion dalam baki sembilan bulan 2023.

 

“Jualan belum dibil kumpulan itu sebanyak RM1.4 bilion pada Mac akan memberikan sedikit keterlihatan mengenai aliran tunainya dalam tempoh terdekat.

 

“Bagaimanapun, kadar di mana ini boleh ditukar kepada pengebilan akan bergantung pada kemajuan pembinaan projek,” kata pemaju itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu menambah bahawa pada 31 Mac 2023, bank tanah yang belum dibangunkan berjumlah 525.8 ekar (212.7 hektar).

 

Mengenai bahagian kerja bersamanya, Paramount berkata Co-labs Coworking akan menumpukan pada meningkatkan kadar penghuniannya dan meneroka peluang pengembangan.

 

Scalable Malaysia pula akan terus memanfaatkan kepakaran Paramount Property untuk mereka bentuk dan membina lebih banyak ruang kerja untuk pangkalan pelanggannya yang semakin meningkat.

 

“Walaupun persekitaran ekonomi global yang mencabar, kumpulan itu optimistik dengan berhati-hati terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2023, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik.

 

"Selain daripada mengoptimumkan operasi kumpulan secara berterusan, kumpulan itu akan kekal berhemat dan tangkas untuk mengharungi persekitaran yang berubah dengan pantas ini," kata Paramount.

 

Keuntungan bersih pemaju meningkat lebih dua kali ganda kepada RM11.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac daripada RM5.02 juta setahun lalu.

 

Hasil meningkat 15.7% kepada RM194.5 juta berbanding RM168.1 juta tahun lepas manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 1.86 sen daripada 0.81 sen sebelumnya. - DagangNews.com