Pasaran 'bimbang' kenaikan jangkitan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Pasaran 'bimbang' kenaikan jangkitan COVID-19

 

 

KUALA LUMPUR 27 April - Kebimbangan terhadap kenaikan kes jangkitan COVID-19 bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara mempengaruhi pergerakan pasaran hari ini. 

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI susut 16.79 mata atau 1.03% kepada 1,606.68 mata diheret turun kebanyakannya kaunter berkaitan sarung tangan getah.

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.07 bilion bernilai RM5.02 bilion, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 8.13 bilion saham bernilai RM5.59 bilion.

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 688 berbanding 417 manakala 432 kaunter tidak berubah.

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0950/0990 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), meningkat sedikit daripada penutupan semalam, RM4.0960/1000. 

 

Hari ini, jumlah jangkitan baharu direkodkan sebanyak 2,733 kes menjadikan ia hari ke-13, negara melepasi paras 2,000 kes.

 

Menurut penganalisis di Maybank Investment Bank seperti dilapor Reuters, pasaran saham Asia menyaksikan dagangan bercampur-campur memandangkan jangkitan pandemik itu semakin meningkat di rantau ini terutama India, diikuti Jepun, Malaysia dan Korea.

 

Ini menyebabkan pasaran saham Asia hanya mengalami pergerakan kecil manakala dagangan mata wang pula mendatar.

 

Selain kebimbangan kes jangkitan COVID-19, mesyuarat Rizab Persekutuan AS selama 2 hari sehingga esok juga membuatkan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat. 

 

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota kajian menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman membabitkan sekatan pergerakan baharu susulan pandemik COVID-19.

 

"FBM KLCI misalnya mencatat peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut, sebahagiannya dipacu oleh aktiviti belian ketara dalam kaunter sarung tangan susulan peningkatan mendadak COVID-19 di beberapa negara terutama India dan Brazil.

 

"Tetapi, momentum peningkatan saham sarung tangan tersebut akan susut apabila kes COVID-19 kembali berkurangan selain didorong oleh pelaksanaan program vaksinasi," katanya. 

 

Petang ini, ketika ditutup kaunter berkaitan sarung tangan getah muncul antara kaunter utama mencatat kerugian terutama Hartalega Holdings Bhd. susut 4.29% kepada RM10.70 manakala Kossan Rubber Industries Bhd. jatuh 4.03% kepada RM4.52.

 

Saham Supermax Corp Bhd. pula susut 2.87% kepada RM6.10 dan Top Glove Corp. Bhd. turun 1.69% kepada RM5.82.- DagangNews.com