Pasaran bon korporat RM714 bilion - SC | DagangNews Skip to main content

Pasaran bon korporat RM714 bilion - SC

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pasaran bon Malaysia yang merupakan sumber utama pengumpulan dana bagi syarikat dengan bon korporat setakat 30 September 2020 kini berjumlah RM714 bilion manakala penerbit bon korport sudah mengumpul kira-kira RM63 bilion. 

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, pasaran bon Malaysia seperti dalam laporan Bank Dunia telah terbukti berjaya membiayai pembangunan infrastruktur negara termasuk lebuh raya, lapangan terbang dan beberapa projek utiliti utama. 

Katanya, kemajuan yang dicapai negara turut disokong oleh insfrastruktur pasaran bon yang berkembang dengan baik dan persekitaran yang menyokong ekosistem perantara, penyedia perkhidmatan dan pelabur. 

"Dari perspektif pelaburan, bon ringgit telah terbukti sebagai aset kelas. Dengan mengambil kira asas makroekonomi negara yang kukuh dan lebih daripada 90% diterbitkan dengan penarafan 'triple A' dan 'double A', ini menjadi tarikan kepada pelbagai institusi pelabur," katanya dalam majlis pelancaran laporan Bank Dunia bertajuk 'Pasaran Bon Domestik Malaysia : Kisah Kejayaan' hari ini. 

Majlis itu diadakan secara maya beserta Forum Inklusif dan Daya Mapan Kewangan selama empat hari melalui dalam talian dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Bank Dunia. 

SYED ZAID ALBAR

 

Menurut Syed Zaid, bon islamik atau sukuk telah meletakkan negara dalam pasaran bon global dengan hampir separuh daripadanya adalah dari Malaysia. 

Jelasnya, bermula dengan terbitan bon pertama oleh Shell pada 1989 dengan kedudukan sukuk pada masa itu berjumlah 80% daripada pasaran bon korporat, kini negara mempunyai lebih daripada 150 terbitan sukuk dan diterima baik oleh pelabur konvensional dan islamik. 

"Berdasarkan rekod kami, Malaysia menyediakan pelan tindakan bagi negara ekonomi baharu muncul untuk membangunkan pasaran bon kewangan yang berjaya. Pastinya, ini tidak berlaku sekelip mata," katanya. 

Beliau berkata, SC juga melihat terbitan bon asing dari Asia, Eropah dan Asia Barat serta institusi pelbagai hala yang memanfaatkan pasaran bon tempatan bagi membiayai keperluan kewangan. 

"Pada masa hadapan, kami percaya permintaan bagi instrumen berasaskan pasaran yang mampu memberi pulangan kewangan dan sosial akan bertambah," katanya. - DagangNews.com