Pasaran IPO Malaysia antara pilihan popular baharu di ASEAN pada 2023 – EY Global | DagangNews Skip to main content

Pasaran IPO Malaysia antara pilihan popular baharu di ASEAN pada 2023 – EY Global

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - Malaysia telah muncul sebagai salah satu pasaran tawaran awam permulaan (IPO) pilihan popular baharu di ASEAN pada 2023, menurut laporan Trend IPO Global Ernst & Young (EY) 2023.

 

EY Global berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan dalam jumlah dan hasil tawaran berbanding aktiviti IPO purata lima tahun.

 

Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah IPO, melepasi purata lima tahun sebanyak 21%, berserta kenaikan 25% dalam hasil IPO berbanding purata lima tahun.

 

Sementara itu, permodalan pasaran bursa saham negara juga mencecah AS$357 juta (AS$1 = RM4.65) setakat Oktober 2023.

 

 

Pasaran IPO pada 2023 berbanding purata lima tahun [Sumber: EY Global]
Pasaran IPO pada 2023 berbanding purata lima tahun [Sumber: EY Global]

 

 

EY Global berkata, peningkatan itu adalah di tengah-tengah gambaran bercampur-campur dalam pasaran IPO ASEAN.

 

“Walaupun bilangan tawaran lengkap telah meningkat sedikit tahun ke tahun (YOY), kebanyakannya datang dari Indonesia, Thailand dan Malaysia, yang bersama-sama menyumbang 148 daripada 157 urus niaga,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut EY Global, Malaysia menyumbang 20% daripada jumlah urus niaga, sementara Indonesia 50% daripada tawaran dan 64% hasil, diikuti Thailand dengan masing-masing 24% jumlah dan 19% nilai.

 

Aktiviti IPO di Singapura pula berkurang akibat inflasi dan kadar faedah yang tinggi, dengan syarikat tersenarai berdepan halangan ekoran harga rendah dan prestasi pasca penyenaraian yang lemah.

 

Firma itu berkata, terdapat sedikit harapan bahawa syarikat dalam sektor pertumbuhan baharu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan teknologi boleh meningkatkan pasaran dengan menyenaraikan IPO pada 2024 selagi harga dagangan yang sihat dapat dikekalkan.

 

“Di rantau yang bercirikan ekonomi membangun, hasil IPO biasanya lebih kecil kerana ia cenderung melibatkan syarikat sedang berkembang yang teruja untuk mengakses dana bagi pengembangan," katanya.

 

Sementara itu, pasaran IPO Asia-Pasifik telah berdepan tahun yang mencabar pada 2023, di mana dua kuasa besar, China dan Hong Kong, menyaksikan jumlah dan nilai terus menurun.

 

EY Global berkata, sebanyak 732 syarikat menyenaraikan IPO di Asia Pasifik pada 2023 dan memperoleh AS$69.4 bilion, masing-masing jatuh 18% dan 44% tahun ke tahun.

 

Meskipun aktiviti IPO di Asia Pasifik merosot tahun lalu, EY Global percaya ia bakal meningkat selagi terdapat penjajaran penggubalan dasar monetari yang kondusif, pemulihan ekonomi China dan geopolitik yang mereda.

 

"Syarikat yang mempunyai modal yang baik dalam ESG dan teknologi mempunyai modal untuk menunggu sehingga penilaian bertambah baik.

 

“Harga realistik dan prestasi pasca IPO mungkin mendorong beberapa syarikat ini untuk disenaraikan, tetapi hanya jika mereka bersedia untuk IPO dengan tadbir urus kukuh dan ekuiti yang baik.

 

“Prestasi syarikat sedemikian selepas IPO akan dipantau dengan teliti, dan jika positif, mungkin menggalakkan penyenaraian baharu," tambahnya. - DagangNews.com