Pasaran modal hutang ringgit Malaysia akan terus berkembang pada 2024 – Fitch Ratings | DagangNews Skip to main content

Pasaran modal hutang ringgit Malaysia akan terus berkembang pada 2024 – Fitch Ratings

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pasaran modal hutang (DCM) Malaysia dibangunkan dengan baik berbanding pasaran baharu muncul dan pasaran kewangan Islam teras lain, dengan terbitan 2024 dijangka meningkat berikutan keperluan kepelbagaian dana dan pembiayaan semula penerbit.

 

Fitch Ratings dalam satu kenyataan berkata, sukuk dan hutang ringgit Malaysia akan terus mendominasi terbitan.

 

Semua sukuk Malaysia di bahawa penilaian Fitch adalah bergred pelaburan dan mempunyai prospek yang stabil, kata agensi penarafan itu.

 

Ketua kewangan Islam global Fitch, Bashar Al Natoor berkata sukuk memegang bahagian majoriti (sekitar 60%) daripada DCM belum dibayar pada 2023 dan trajektori ini akan diteruskan.

 

“Pengawal selia Malaysia memberikan potongan cukai kepada penerbit dan pelabur sukuk, yang memacu pertumbuhan.

 

“Bagaimanapun, turun naik mata wang ringgit merupakan had kemasukan utama bagi pelabur antarabangsa di DCM Malaysia manakala bagi sukuk, permintaan daripada bank Islam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) juga boleh dihalang kerana perbezaan tafsiran syariah,” kata beliau.

 

Fitch menyatakan bahawa DCM Malaysia yang belum dibayar meningkat 5.8% pada 2023 kepada AS$542.5 bilion (RM2.6 trilion) (menurut Bloomberg), 92% daripadanya dalam ringgit dan kira-kira AS$60 bilion hutang akan matang pada 2024.

 

Agensi itu berkata bajet 2024 kerajaan, yang masih mengembang sedikit, akan memacu pertumbuhan DCM, dengan pihak berkuasa merancang beberapa inisiatif pembangunan berpandukan rangka kerja Ekonomi Madani.

 

Menurut agensi berkenaan, kerajaan agak bergantung kepada pendapatan berkaitan minyak, sambil menambah bahawa ia mengunjurkan harga minyak turun kepada AS$80 setiap tong minyak mentah (bbl) pada 2024 dan AS$70/bbl pada 2025.

 

Al Natoor berkata, Malaysia mempunyai hutang awam yang tinggi berbanding negara setara, yang mana pihaknya menganggarkan hutang am kerajaan sebanyak 72.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2023.

 

“Kami menjangkakan kadar dasar Bank Negara Malaysia bagi 2024 tidak berubah pada 3%,” tambahnya.

 

Fitch berkata kira-kira AS$3.1 bilion hutang berkaitan ESG diterbitkan pada 2023, turun sebanyak 46% daripada 2022, sambil menambah bahawa daripada jumlah ini, 95% adalah dalam format sukuk, meningkat daripada 50.3% pada 2020.

 

Meskipun ringgit mencecah rekod rendah setelah menyusut lebih 5% berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2023, agensi penarafan itu berkata pegangan asing dalam DCM belum dibayar meningkat kepada 14% dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 (2022: 13.1%).

 

Malaysia adalah pasaran sukuk terbesar global dan DCM ketiga terbesar di rantau ASEAN, dengan 20% bahagian hutang belum dibayar serantau pada akhir 2023, di belakang Indonesia (24%) dan Singapura (22%). - DagangNews.com