Pasaran modal Malaysia kekal mantap, terurus dalam ketidaktentuan global - SC | DagangNews Skip to main content

Pasaran modal Malaysia kekal mantap, terurus dalam ketidaktentuan global - SC

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pasaran modal Malaysia kekal mantap dan terurus biarpun dalam persekitaran kelemahan pasaran kewangan global dan ketidaktentuan berkaitan konflik geopolitik, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Pengarah Eksekutif  Kewangan Korporat dan  Pelaburan SC, Datuk Zain Azhari Mazlan berkata, SC juga yakin dapat terus memainkan peranan penting dalam membiayai pertumbuhan ekonomi serta menggerakkan lagi simpanan bagi tujuan pelaburan yang produktif.

 

Beliau berkata, pasaran kewangan global misalnya telah mencatat prestasi lebih lemah pada tahun lepas dengan keadaan kewangan yang terus diperketat.

 

“Konflik geopolitik yang ketara meningkatkan ketidaktentuan secara menyeluruh pada 2022. Faktor ini serta lainnya berperanan dalam membentuk prospek pasaran global di masa hadapan.

 

“Kekukuhan ekonomi kita dibuktikan oleh prestasi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 8.7% yang didorong oleh momentum permintaan domestik yang baik, pengembangan kukuh dalam sektor luaran serta  peningkatan berterusan membabitkan keadaan pasaran tenaga kerja,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada majlis Anugerah Dana Morningstar 2023 di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Zain Azhari berkata keadaan pasaran modal yang terus berkembang dengan inovasi teknologi serta produk yang kian kompleks juga membolehkan pelabur meraih manfaat dari segi akses, pilihan dan maklumat lebih baik membabitkan pelaburan.

 

“(Namun) pada masa sama, ini turut meningkatkan risiko serta cabaran baharu, terutama bagi pelabur yang kurang mahir serta berisiko tinggi untuk dieksploitasi.

 

“SC sendiri menyedari keadaan ini dan memberi tindak balas terhadap perubahan berkenaan dengan mendukung mandat SC untuk perlindungan pelabur. Berikutan itu, pendekatan kawal selia SC bagi kemajuan masa depan, adalah dengan meningkatkan lagi penekanan terhadap aspek mengenal pasti serta penilaian pelabur yang mudah terdedah (kepada risiko),” katanya.

 

Galakan Meningkatkan Simpanan Persaraan

Mengulas prospek global bagi  2023, Zain Azhari menjangkakan tahun ini sebagai mencabar dan tertakluk kepada pelbagai ketidaktentuan -- daripada kadar normalisasi dasar monetari sehingga kepada geopolitik yang berpecah-belah.

 

Di peringkat domestik, beliau berkata ekonomi Malaysia dijangka tumbuh secara sederhana kira-kira 4.5% sebagaimana diunjurkan oleh Kementerian Kewangan.

 

Menurutnya, SC juga kekal komited terhadap pembuatan dasar yang progresif dan lebih terbuka kepada perubahan serta menggunakan pendekatan bagi mencapai hasil yang disasarkan.

 

“SC bersama pihak penyedia skim persaraan swasta (PRS), akan meninjau bagaimana intervensi tingkah laku dapat dimanfaatkan untuk menggalakkan simpanan persaraan lebih besar dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

“Ini melibatkan aspek membentuk intervensi bagi memupuk rakyat Malaysia membuat keputusan lebih baik bagi tujuan persaraan. Sebagai contoh, dengan menjadikan sumbangan tetap PRS secara automatik dan memperkenalkan ciri-ciri penjimatan berkaitan,” katanya.

 

Zain Azhari berkata, SC akan terus menekankan libat urus strategik dengan semua pihak berkepentingan utama bagi memastikan pasaran modal lebih inklusif dengan membangunkan kaji selidik peringkat industri membabitkan firma pengurusan dana bagi mendapatkan perspektif terhadap cabaran serta peluang.

 

Menurutnya, ini penting sebagai pemangkin fasa pertumbuhan berikutnya bagi industri pengurusan dana Malaysia. - DagangNews.com