Pasaran saham kembali melonjak di sebalik krisis politik, tanda sentimen positif masih ada | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham kembali melonjak di sebalik krisis politik, tanda sentimen positif masih ada

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Walaupun negara berdepan kemelut politik yang serupa seperti tahun, namun ini tidak mendatangkan kesan yang negatif ke atas pasaran tempatan, sebaliknya, FBM KLCI kembali melonjak pada pembukaan dagangan hari ini. 

 

Indeks utama itu memulakan dagangan 2.37 mata lebih tinggi kepada 1,505.27, daripada penutupan petang semalam, 1,502.90 dengan 57 juta saham bertukar tangan, bernilai RM20 juta setakat 9 pagi.

 

Keseluruhan pasaran juga beraksi agak positif apabila jumlah kaunter untung mengatasi kaunter rugi, dengan perbandingan 158 daripada 71 kaunter. 

 

Sementara, sebanyak 204 kaunter tidak berubah dengan 1766 tidak didagangkan. 

 

Bagi Rakuten Trade Research, FBM KLCI kembali pulih daripada paras terendahnya, ekoran aktiviti pemburuan saham murah muncul semula. 

 

“Menarik juga kerana dana asing merupakan pembeli bersih walaupun terdapat ketidaktentuan politik. 

 

“Buat hari ini, kami menjangkakan dagangan di bursa tempatan akan stabil dan bakal menyaksikan indeks itu berlegar dalam julat 1,500 hingga 1,510,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

 

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri setelah tidak lagi mempunyai majoriti penuh untuk terus menerajui kepimpinan tersebut. 

 

Buat masa ini, Malaysia masih berteka-teki dan menantikan perkembangan politik negara, sementara Muhyiddin akan menjalankan tugas sebagai 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan, Tanco Holdings Berhad melonjak 0.05 sen setakat 9.24 pagi, kepada 22 sen dan diikuti oleh Mobilia Holdings Berhad yang menokok 1 sen kepada 55 sen. 

 

Beralih ke kaunter paling untung, saham Hong Leong Bank Berhad mendahului dengan lonjakan terbesar sebanyak 22 sen kepada RM18.20. 

 

Turut menerima tempias positif itu, saham Sam Engineering & Equipment (M) Berhad yang meningkat 18 sen kepada RM13.88. 

 

Saham Nestle (Malaysia) Berhad sebaliknya terpelosot ke kaunter paling rugi, dengan penyusutan 80 sen pada awal dagangan kepada RM132.50. 

 

Indeks pasaran ACE, perladangan minyak sawit dan perkhidmatan kewangan menjadi pemacu utama kepada lonjakan FBM KLCI pada awal dagangan pagi ini. - DagangNews.com