KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pasaran tempatan kembali mencecah paras 1,500 mata apabila menokok 5.74 mata kepada 1,500.35 mata ketika ditutup petang ini.
Suhu politik negara dilihat kembali reda selepas parti Melayu terbesar di negara ini, UMNO menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) menerusi kenyataannya malam tadi.
Pagi tadi, indeks utama FBM KLCI itu berada pada paras serendah 1,489.98 mata.
Petang ini, ia menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 620 berbanding 374 manakala 444 kaunter tidak berubah dengan 4.71 bilion saham bertukar tangan bernilai RM4.1 bilion.
Bagaimanapun, ringgit susut kepada RM4.1640/1680 berbanding dolar AS selepas dibuka pada RM4.1620/1670 pagi ini.
Menurut Reuters, kebanyakan pasaran saham Asia hari ini jatuh apabila kes COVID-19 semakin meningkat dan tiada perkembangan dalam pakej rangsangan AS turut membelenggu sentimen pelabur.
Firma penyelidikan Hong Leong IB Research mengunjurkan indeks FBM KLCI akan pulih pada paras sederhana dengan berlegar sekitar 1,507 mata.
"Bagaimanapun, indeks penanda aras itu akan terjebak dalam konflik antara pilihan raya presiden AS 3 November ini dan Belanjawan 2021, 6 November ini serta faktor peningkatan wabak itu di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com