Pasaran tempatan susut 7.70 mata, khabar angin PM letak jawatan | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan susut 7.70 mata, khabar angin PM letak jawatan

 


ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi, dengan susut 7.70 mata kepada 1,486.94 mata ekoran tekanan jualan dan khabar angin peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pasaran tempatan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 705 berbanding 242 manakala 402 kaunter tidak berubah. Sebanyak 3.481 bilion saham diniagakan bernilai RM2.527 bilion. 

Pagi ini, pasaran tempatan dibuka lemah pada 1,492.79 mata setelah susut 1.85 mata berbanding Jumaat lalu, 1,494.6 mata. Pasaran berlegar antara 1482.80 hingga 1497.54 mata.

Muhyiddin pagi tadi mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet. 

Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memberitahu jemaah menteri akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai keputusan Baginda untuk tidak mengisytihar darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia buat masa ini kerana tidak wujud keperluan.

Seri Paduka Baginda dalam kenyataan Istana Negara semalam memaklumkan, kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan.

Situasi politik dilihat masih tidak menentu apabila Muhyiddin hari ini berdepan desakan pelbagai pihak supaya beliau meletak jawatan selepas Al-Sultan Abdullah menolak pengisytiharan darurat.  

Dalam nota kajian, penganalisis CGS-CIMB Research, Ivy Ng berkata, walaupun keputusan Seri Paduka Baginda tidak mengisytiharkan darurat memberi kelegaaan kepada pasaran tempatan, namun, ia dilihat tidak mungkin dapat mengurangkan kebimbangan pelabur asing. 

Ini kerana menurut beliau, pelabur asing merupakan sebahagian besar pelabur utama dalam pasaran ekuiti Malaysia tahun ini ekoran ketidaktentuan politik dan hasil korporat yang lemah tetapi ia diimbangi oleh pembeli bersih institusi dan pelabur runcit tempatan.

Beliau bagaimanapun mengunjurkan indeks FBM KLCI akan berlegar pada 1,520 mata menjelang akhir tahun ini. - DagangNews.com