Pasca COVID-19: Syarikat medium Malaysia lebih berhati-hati terhadap risiko | DagangNews Skip to main content

Pasca COVID-19: Syarikat medium Malaysia lebih berhati-hati terhadap risiko

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Syarikat peringkat pertengahan di Malaysia lebih mementingkan langkah berhati-hati dalam mendepani risiko, pasca COVID-19 daripada mengutamakan penggunaan teknologi. 

Kaji selidik Bank Standard Chartered ke atas 26 syarikat pertengahan Malaysia yang menjana hasil antara US$100 juta hingga US$500 juta mendapati 73% daripadanya memfokuskan tindakan berhati-hati terhadap risiko dengan meletakkan operasi yang lebih cekap dan fleksibel (69%), sebagai keutamaan kedua. 

Standard Chartered dalam kenyataannya memberitahu, penggunaan teknologi untuk membezakan syarikat mereka dengan pesaing (65%) menjadi keutamaan ketiga.

kajian

“Memandangkan perintah berkurung tidak lagi dilaksanakan dengan syarikat masih dalam proses pemulihan, jadi keperluan untuk memastikan ketahanan dalam model operasi mereka mengatasi keutamaan penggunaan teknologi. 

“50% responden mencatatkan kemerosotan 20% hingga 50% dalam pendapatan bulanan. Lebih separuh daripada mereka menjangkakan pendapatan syarikat akan kembali pulih dan stabil sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan lagi,” jelas Standard Chartered.

Kajian itu dilakukan ke atas 200 pemilik syarikat pertengahan atau medium di China, Hong Kong, India, Singapura dan melibatkan 26 syarikat di Malaysia. 

Bagaimanapun, hasil kajian ke atas syarikat di negara-negara terbabit selain Malaysia, mendapati mereka lebih mengutamakan operasi syarikat yang lebih cekap dan fleksibel untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.

 

jiten arora
Jiten Arora

 

Menurut Ketua Perbankan Pengiklanan Global Standard Chartered, Jiten Arora, sokongan dana yang terhad, ditambah ketidaktentuan dalam permintaan pelanggan, mendorong syarikat pertengahan terdedah kepada tekanan lebih tinggi berbanding pesaing yang lebih besar.

“Walaupun berdepan dengan cabaran tersebut, ada peluang untuk mereka mencatatkan pertumbuhan keuntungan sekiranya memanfaatkan saiz tenaga yang ada di samping mengubah cara mereka untuk menjadi lebih berdaya tahan,” kata beliau dalam kenyataan sama. 

Syarikat peringkat pertengahan di Malaysia meletakkan penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada pelanggan (62%) sebagai keutamaan keempat, diikuti oleh mengembangkan perniagaan syarikat ke pasaran lain (46%) dan menambahbaik kesan sosial (38%). - DagangNews.com