PayHalal, Atome tawar kemudahan 'beli sekarang, bayar kemudian' patuh syariah | DagangNews Skip to main content

PayHalal, Atome tawar kemudahan 'beli sekarang, bayar kemudian' patuh syariah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Gerbang pembayaran patuh syariah pertama di dunia, PayHalal kini menawarkan kepada peniaga penyertaan untuk kemudahan iBNPL sulungnya yang ditawarkan bersama Atome. 

 

Peniaga yang mendaftar dengan PayHalal kini boleh mendapat manfaat daripada program 0% faedah tanpa riba daripada beribu-ribu pengguna pra-kelulusan Atome dengan had perbelanjaan maksimum RM5,000.

 

Dengan jenama terkenal seperti Zurich Takaful, Celcom, Misz Nina, Cattle Queen, Halal Development Corporation (HDC) Berhad dan banyak lagi peniaga terkenal lain sedia ada, program Beli Sekarang Bayar Kemudian Berlandaskan Islam yang ditawarkan oleh PayHalal dan Atome ini bertujuan memberikan peniaga pendapatan yang mampan dengan menjana trafik ke kedai web dan kedai fizikal mereka. 

 

Ini didorong lagi dengan kempen taktikal yang ditawarkan melalui aplikasi Beli Sekarang Bayar Kemudian Atome, yang mendorong pengguna aplikasi itu ke pangkalan peniaga PayHalal untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan halal dan patuh syariah.

 

 

Kempen itu telah bermula dengan promosi istimewa, menawarkan persediaan percuma kepada 786 peniaga pertama untuk gerbang pembayaran PayHalal yang telah dimuatkan dengan kemudahan iBNPL yang diluluskan. 

 

Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian dalam masa 30 minit dengan kelulusan segera atau melalui pasukan kembara rovers PayHalal, yang akan digerakkan untuk membantu peniaga luar talian.

 

Dengan perkhidmatan pembayaran peniaga PayHalal, pengguna boleh mengharapkan transaksi bebas riba dan gharar yang telus, mengulangi matlamat PayHalal untuk memberikan perlindungan kepada pengguna apabila mereka membeli-belah dalam talian, tanpa rasa bimbang atau was-was. 

 

Dengan peningkatan permintaan pembayaran Islam digital, PayHalal juga meramalkan jumlah pemprosesan pembayaran sebanyak RM8.61 bilion dan RM135 juta hasil untuk syarikat pada tahun kewangan 2023.

 

Pengarah Jualan PayHalal, Azhani Azman berkata, iBNPL akan memacu perniagaan Malaysia ke tahap baharu kerana ciri tersebut menawarkan manfaat yang hebat kepada peniaga dan pengguna. 

 

“Dengan pelancaran kempen ini, terutama apabila kami akan memulakan kempen pada bulan Ramadan ini, kami menjangkakan ia akan mampu dilaksanakan dengan pantas. Di PayHalal, kami kekal komited untuk membantu peniaga-peniaga Malaysia mempercepatkan transformasi digital mereka. 

 

"iBNPL menawarkan peniaga akses pasaran yang lengkap kepada pembeli yang ingin memanfaatkan sepenuhnya bajet mereka, manakala pembeli boleh membeli barangan idaman hati mereka tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar," katanya. - DagangNews.com