Pekat Group meterai perjanjian RM30 juta bekal tenaga elektrik berkuasa solar kepada syarikat Maldives | DagangNews Skip to main content

Pekat Group meterai perjanjian RM30 juta bekal tenaga elektrik berkuasa solar kepada syarikat Maldives

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Pekat Group Bhd menerusi unit tidak langsungnya, Solaroo RE (Maldives) Pvt Ltd bersetuju untuk membekalkan tenaga elektrik berkuasa solar kepada Sun Investments Pvt Ltd yang berpangkalan di Maldives pada harga RM30 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak 10 tahun itu dianggarkan bernilai AS$6.9 juta (RM30 juta), berdasarkan kepada penjanaan 25.45 juta kWj.

 

Menerusi perjanjian pembelian kuasa (PPA) itu, Solaroo akan mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara sistem penjanaan solar fotovoltaik dengan kapasiti DC 1,727 kilowatt puncak (kWp) dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) kapasiti 1,398 kilowatt- jam (kWj).

 

Ia kemudiannya akan ditempatkan di tapak di Sun Siyam Vilu Reef Maldives, bagi menjana dan membekalkan tenaga solar fotovoltaik kepada Sun Investments.

 

PPA berkuat kuasa tarikh operasi komersial (COD), yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pemilikan tapak dan akan tamat selepas 10 tahun COD.

 

Kemasukan ke dalam PPA tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham terbitan Pekat dan pegangan saham pemegang saham besar.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh PPA," katanya.- DagangNews.com