Pelabur asing beli ekuiti tempatan 4 kali ganda lebih tinggi minggu lalu berjumlah RM676.7 juta – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli ekuiti tempatan 4 kali ganda lebih tinggi minggu lalu berjumlah RM676.7 juta – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Pelabur asing mengekalkan pembelian ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, berjumlah RM676.7 juta minggu lalu, hampir empat kali ganda jumlah yang dibeli pada minggu sebelumnya bernilai RM163.7 juta.

 

MIDF Research berkata pelabur asing mencatat belian bersih setiap hari, dengan aliran masuk tertinggi pada Isnin sebanyak RM359.2 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing untuk minggu tersebut ialah perkhidmatan kewangan (RM194.4 juta), utiliti (RM123.1 juta) dan penjagaan kesihatan (RM111.3 juta).

 

Manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar mereka ialah tenaga (RM23.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM23.1 juta) dan REIT (RM1.5 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan merekodkan jualan bersih RM551.2 juta pada minggu lepas, menandakan jualan bersih minggu kedua berturut-turut.

 

“Setiap hari dalam minggu tersebut menyaksikan jualan bersih, dengan aliran keluar tertinggi berlaku pada Isnin berjumlah RM226.9 juta,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi pelabur runcit tempatan melanjutkan jualan bersih mereka untuk minggu kelima berturut-turut berjumlah RM125.5 juta minggu lalu.

 

Aliran keluar diperhatikan dari Isnin hingga Rabu, manakala Khamis dan Jumaat masing-masing mencatatkan aliran masuk RM13 juta dan RM29.7 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 8.5%, pelabur runcit tempatan sebanyak 10.1% dan pelabur institusi tempatan sebanyak 11.2%,” katanya.  - DagangNews.com