Pelabur asing beli RM143.4 juta ekuiti Malaysia selepas menjual minggu sebelumnya – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM143.4 juta ekuiti Malaysia selepas menjual minggu sebelumnya – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Pelabur asing membeli bersih RM143.4 juta ekuiti Malaysia pada minggu lalu selepas menjual seketika minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata aliran masuk ke Bursa Malaysia bermula pada Khamis susulan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar faedah pada Rabu lalu.

 

Mereka bersih membeli RM125.3 juta pada Khamis dan RM190.2 juta pada Jumaat, menterbalikkan jualan bersih mereka dari Isnin hingga Rabu berjumlah RM172 juta.

 

Menurt firma itu, tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing minggu lepas adalah utiliti (RM91.2 juta), penjagaan kesihatan (RM65.9 juta) dan teknologi (RM33.5 juta).

 

“Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar pelabur asing adalah perkhidmatan kewangan (RM66.8 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM21.2 juta) dan tenaga (RM19.2 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus menjadi pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan kadar lebih rendah pada RM82 juta, berbanding RM194 juta minggu sebelumnya.

 

“Mereka merupakan membeli bersih dalam sektor seperti perladangan (RM58.6 juta), penjagaan kesihatan (RM55.1 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM51 juta),” tambahnya.

 

Manakala pelabur runcit tempatan beralih kepada penjual bersih ekuiti domestik, berjumlah RM225.5 juta, selepas dua minggu membeli.

 

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research berata purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhannya meningkat dalam kalangan pelabur runcit tempatan (22.7%), pelabur institusi tempatan (31.9%) dan pelabur asing (62.8%).  - DagangNews.com