Pelabur asing beli RM1.5 bilion ekuiti tempatan minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM1.5 bilion ekuiti tempatan minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.5 bilion.

 

MIDF Research berkata, ia adalah jumlah belian bersih mingguan bersih tertinggi yang dilihat tahun ini dan tertinggi sejak minggu berakhir 18 Mac 2016.

 

"Tiga sektor teratas yang dibeli bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM1.30 bilion), utiliti (RM259.7 juta) dan pembinaan (RM88.7 juta).

 

 

"Sementara itu, tiga sektor teratas yang dijual ialah teknologi (RM60.4 juta), pengangkutan & logistik (RM57.2 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM41 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 30 Ogos 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan menjual sejumlah RM1.26 bilion ekuiti pada minggu lepas, tertinggi sejak minggu berakhir 4 Mac 2022.

 

Katanya, mereka menjadi pembeli bersih pada Isnin dengan RM13.9 juta tetapi menjadi penjual bersih dari Selasa hingga Jumaat.

 

"Peruncit tempatan menjadi penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan RM245.4 juta.

 

"Mereka hanya menjadi pembeli bersih pada Khamis dengan RM26.3 juta dan menjadi penjual bersih sepanjang minggu," katanya.

 

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan sebanyak 49.9% dalam kalangan pelabur asing manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan mengalami penurunan masing-masing sebanyak 0.4% dan 2.8%.- DagangNews.com