KUALA LUMPUR 18 Sept - Pelabur asing kembali membeli bersih sebanyak RM23.1 juta ekuiti Malaysia minggu lalu, selepas menjual bersih selama tiga minggu berturut-turut, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata pelabur asing memulakan minggu dagangan mereka dengan aliran keluar namun beralih kepada aliran masuk dari Rabu hingga Jumaat yang berjumlah RM318.9 juta.
Pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti tempatan pada kadar RM2.47 bilion setakat tahun ini.
“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing minggu lepas adalah utiliti (RM105.5 juta), pembinaan (RM53.6 juta) dan perladangan (RM49.9 juta).
“Sementara itu, sektor dengan aliran keluar pelabur asing adalah penjagaan kesihatan (RM50.5 juta), REIT (RM50 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM22.4 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan mengakhiri rentetan pembelian bersih empat minggu mereka dengan menjual RM131.5 juta minggu lepas.
Setakat ini, pelabur institusi tempatan mencatatkan aliran masuk RM3.16 bilion.
Sebaliknya, pelabur runcit tempatan terus menjual tempatan bagi minggu ke-10 berturut-turut, dengan jualan bersih berjumlah RM103.7 juta minggu lepas.
Pelabur runcit tempatan telah menyaksikan aliran keluar sebanyak RM687.3 juta setakat ini.
“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) oleh pelabur runcit (12.9%) dan pelabur institusi tempatan (9.6%), manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan (68.5%),” katabya, - DagangNews.com