Pelabur asing kembali beli saham bank Malaysia susulan pengukuhan ringgit, ekonomi - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali beli saham bank Malaysia susulan pengukuhan ringgit, ekonomi - Maybank IB

Pelabur asing kembali beli saham bank beberapa bulan kebelakangan ini untuk AmBank, CIMB dan Maybank, kata Maybank IB. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Prospek ekonomi dan sektor perbankan yang baik ditambah dengan pengukuhan nilai ringgit menyaksikan kembalinya pembelian asing saham-saham bank Malaysia setelah beberapa tahun menjauhkan diri seperti yang ditunjukkan daripada penurunan tahap pegangan asing. 

 

Maybank Investment (Maybank IB) berkata, pembelian asing bagaimanapun telah dapat disaksikan dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk AmBank Group Malaysia Berhad (AMMB), CIMB Group Holdings Berhad dan Maybank.

 

"Dengan prospek ekonomi dan sektor perbankan yang semakin baik, bersama dengan pengukuhan Ringgit, penilaian yang baik dan hasil yang menarik, kami percaya bahawa persekitaran semasa adalah kondusif untuk aliran masuk asing yang lebih lanjut ke dalam sektor perbankan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, dalam konteks kemungkinan potongan kadar Faedah Rizab Persekutuan AS, Maybank IB  menjangkakan kadar faedah di Malaysia akan kekal stabil, di tengah pengukuhan nilai Ringgit. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini memberi kesan positif terhadap margin bank dan pendapatan bukan faedah.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ringgit satu-satunya mata wang Asia naik berbanding dolar AS pada 2024 - Standard Chartered

 

"Selain itu, dengan prospek ekonomi yang semakin baik, mata wang yang lebih kukuh serta penilaian dan hasil yang baik untuk sektor ini, ini boleh menguatkan aliran masuk asing ke dalam bank," jelasnya yang mengekalkan saranan 'Positif' sektor perbankan.

 

Maybank IB dalam pada itu menjangkakan Rizab Persekutuan AS mungkin mula memotong kadar faedahnya seawal September 2024 dengan inflasi yang semakin reda dan pengangguran yang meningkat.

 

"Pasukan Ekonomi kami kini meramalkan potongan 50 mata asas kepada Kadar Faedah Rizab Persekutuan (FFR) pada tahun 2024 dan potongan 100 mata asas pada tahun 2025. 

 

"Dengan jurang besar sebanyak 250 mata asas antara OPR sebanyak 3% dan FFR sebanyak 5.25-5.50%, pasukan kami menjangkakan tiada potongan kadar domestik akan dilakukan, dengan OPR kekal pada 3% pada tahun 2024 dan 2025, memandangkan risiko terhadap inflasi domestik masih berada di atas," ujarnya.- DagangNews.com