Pelabur asing terus beli RM352.9 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing terus beli RM352.9 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Pelabur asing mengekalkan aliran masuk mereka di Bursa Malaysia selepas membeli bersih RM352.9 juta minggu lepas, 12% lebih rendah daripada RM400.7 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, ini merupakan pembelian bersih pelabur asing bagi minggu keempat berturut-turut dan setakat tahun ini, mereka membeli bersih kira-kira RM1.53 bilion.

 

Sepanjang minggu ini, aliran dana asing merekodkan pembelian bersih setiap hari, dengan aliran masuk tertinggi diperhatikan pada Selasa berjumlah RM193 juta berikutan pembukaan semula pasaran.

 

“Sektor yang mencatat aliran masuk asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM143.6 juta), telekomunikasi dan media (RM95 juta), serta teknologi (RM61.4 juta).

 

“Sektor dengan aliran keluar asing tertinggi pula adalah utiliti (RM29 juta), Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) (RM19.1 juta) dan pembinaan (RM16.3 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut nota tersebut, tiga saham dengan aliran asing tertinggi mengikut nilai adalah Maybank, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, manakala tiga saham teratas dengan aliran keluar asing adalah YTL Power, Gamuda dan QL Resources.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan meneruskan aliran keluar ekuiti domestik untuk minggu keempat berturut-turut, berjumlah RM277.5 juta.

 

Bagi minggu kedua berturut-turut, pelabur runcit tempatan kekal konsisten dalam corak jualan bersih ekuiti domestik mereka, dengan jumlah jualan mencecah RM75.5 juta minggu lepas.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat dalam kalangan pelabur runcit tempatan (12.1%) dan pelabur institusi tempatan (15%), tetapi menurun dalam kalangan pelabur asing (11.4%),” katanya. - DagangNews.com