Pelabur asing terus jual ekuiti buat minggu kelima sebanyak RM512.3 juta - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing terus jual ekuiti buat minggu kelima sebanyak RM512.3 juta - MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pelabur asing kekal menjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu kelima berturut-turut, mencecah sebanyak RM512.3 juta, menurut laporan MIDF Research hari ini.

 

Setakat ini, aliran keluar ekuiti tempatan oleh pelabur asing adalah sebanyak RM119.9 juta.

 

Minggu dagangan yang pendek sempena cuti ganti Thaipusam pada Isnin lalu menyaksikan aliran keluar terbesar RM220.57 juta pada Selasa dan paling sedikit sebanyak RM40.84 juta pada Khamis.

 

Aliran masuk pelabur asing dicatatkan dalam dua sektor sahaja iaitu tenaga (RM26.4 juta) dan hartanah (RM3.9 juta).

 

Sementara itu, aliran keluar direkodkan dalam sektor pembinaan (RM724.6 juta), teknologi (RM115.9 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM111.2 juta).

 

Pelabur institusi tempatan pula kekal menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut sebanyak RM937 juta dan pada minggu lalu, mereka membeli bersih ekuiti sebanyak RM121 juta.

 

“Mereka membeli bersih ekuiti setiap hari dengan jumlah terbesar pada Selasa sebanyak RM85.80 juta, diikuti RM34.63 juta (Jumaat) dan RM25.74 juta (Khamis).

 

“Pada Selasa, terdapat penjualan bersih yang sedikit iaitu sebanyak RM2.13 juta,” katanya.

 

Dalam pada itu, pelabur runcit menjadi pembeli bersih ekuiti untuk minggu kedua berturut-turut.

 

“Mereka membeli setiap hari dengan pembelian bersih terbesar pada Selasa iaitu sebanyak RM134.78 juta, diikuti RM57.15 juta (Rabu) dan RM56.76 juta (Jumaat).

 

Pembelian bersih dalam jumlah yang kecil adalah sebanyak RM15.09 juta pada Khamis,” katanya.

 

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati volum dagangan purata harian (ADTV) kesemua pelabur asing, pelabur institusi tempatan dan pelabur runcing masing-masing menurun 24.9%, 22.5% dan 22.3%. – DagangNews.com