MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM187.8 juta ekuiti dua minggu berturut-turut | DagangNews Skip to main content

MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM187.8 juta ekuiti dua minggu berturut-turut

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pelabur asing terus menjual bersih RM187.8 juta ekuiti Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut pada minggu yang dipendekkan disebabkan cuti umum pada Isnin sempena Hari Raya Aidilfitri.

 

MIDF Research berkata pelabur asing telah menjual setiap hari pada minggu lalu dan menjadi penjual bersih selama 11 daripada 17 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM2.12 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih minggu lepas adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM44.0 juta), hartanah (RM12.9 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM6.4 juta).

 

Manakala, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM85.9 juta), teknologi (RM52.5 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM34.6 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM166.6 juta minggu lalu selepas mereka menjual ekuiti bernilai RM7.3 juta minggu sebelumnya.

 

“Setiap hari dagangan minggu lepas adalah hari belian bersih oleh pelabur institusi tempatan, dengan aliran masuk bersih paling tinggi dicatatkan pada Khamis pada RM86.9 juta.

 

“Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih selama 12 daripada 17 minggu dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM1.99 bilion,” kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Manakala pelabur runcit kekal membeli bersih ekuiti untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk RM21.2 juta pada minggu lalu.

 

Minggu lalu menyaksikan dagangan bercampur untuk pelabur runcit dengan aliran keluar RM3 juta dan RM17.2 juta masing-masing pada hari Selasa dan Khamis, manakala aliran masuk pada hari Rabu berjumlah RM30.6 juta dan Jumaat pada RM10.8 juta mengimbangi kerugian.

 

“Setakat ini, pelabur runcit telah menjadi pembeli bersih selama sembilan daripada 17 minggu, menghasilkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM129.3 juta,” tambahnya.

 

Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) meningkat dalam kalangan pelabur asing sebanyak 3.9%, manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing menyusut 18.3% dan 11.5%. -DagangNews.com