KUALA TERENGGANU 12 Sept - Kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) untuk pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berkuat kuasa serta-merta disambut penuh kesyukuran oleh pelajar dan keluarga mereka.
Bagi pelajar University of Southampton, United Kingdom, Amir Rizwan Md Yazid, kenaikan itu sangat tepat pada waktunya kerana peningkatan harga barangan yang sangat ketara sejak akhir-akhir ini.
"Elaun bulanan yang saya terima daripada MARA ketika ini ialah £880. Setakat ini ia masih mencukupi untuk keperluan diri saya, namun masih ramai rakan lain terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup di luar negara.
"Selain kos makan minum, kadar sewa rumah juga mahal di sekitar United Kingdom. Alhamdulillah saya bersyukur sangat dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana ia bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan pelajar," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.
Bekas pelajar Universiti Kuala Lumpur itu berkata dia sangat terhutang budi dengan MARA kerana memberi pinjaman sebanyak RM800,000 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang aeronautik.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan kadar ESH untuk pelajar sedia ada dan baharu bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.
Kadar ESH baharu dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bermula daripada peringkat diploma sehingga doktor falsafah dan profesional.
Bagi kadar ESH pelajar luar negara pula, ia dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sehingga maksimum RM7,600 sebulan, bermula daripada peringkat ijazah sarjana muda sehingga peringkat doktor falsafah dan peringkat profesional.
Seorang lagi pelajar, Nurul’ Ain Mohd Khairuddin, 21, berkata, dia menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM595 setiap bulan dan jumlah itu masih mencukupi dengan perbelanjaan yang berjimat cermat.
"Bila dengar pengumuman ini, memang rasa gembira dan bersyukur sangat kerana tidak perlu meminta wang tambahan lagi dari ibu bapa yang berada di Bentong, Pahang.
"Mak ayah kerja biasa sahaja, adik beradik pula lapan orang jadi saya tidak mahu membebankan mereka dalam soal kewangan.
"Alhamdulillah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dungun ini, perbelanjaan makan minum masih ada kedai yang menawarkan harga berpatutan, tidak seperti di bandar besar.
"Saya akan mula menyewa rumah selepas cuti semester berakhir tidak lama lagi...mungkin akan bergilir masak dengan rakan serumah untuk menjimatkan perbelanjaan," katanya yang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Kewangan.
Bagi ibu bapa pula, pengumuman Perdana Menteri itu adalah berita paling menggembirakan buat mereka kerana tidak perlu lagi bimbang dengan keperluan anak yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
BACA JUGA: Elaun sara hidup pelajar tajaan MARA dinaikkan - PM
Kakitangan awam, Normah Ismail, 45 berkata anaknya, Danish Irfan Ramli, 20 kini sedang melanjutkan pelajaran di Perancis dengan tajaan MARA dalam bidang perniagaan.
"Lega sangat hati, bersyukur dengan keprihatinan Perdana Menteri yang peka dengan situasi ekonomi semasa. Macam anak saya, tidaklah sampai perlu bekerja sambilan kerana saya masih mampu mengirim wang, tapi ada rakannya yang terpaksa berjimat cermat di universiti.
"Saya kira ini adalah pelaburan yang berbaloi untuk kerajaan lakukan kerana pelajar-pelajar ini akan pulang semula ke Malaysia dan mencurahkan bakti dengan kepakaran dan ilmu yang ada," katanya. - DagangNews.com