Pelajar pertanian UPM perlu bantu tingkatkan sekuriti makanan negara  | DagangNews Skip to main content

Pelajar pertanian UPM perlu bantu tingkatkan sekuriti makanan negara 

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tiga dari kiri) dan Prof. Dr. Arifin Abdu (kanan) pada majlis Program Kongsi Nikmat Agrobank di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 12 April 2022.

SERDANG 13 April – Malaysia amat memerlukan graduan pertanian untuk meningkatkan sektor pertanian seperti perladangan tanaman makanan, perikanan dan penternakan yang akan membantu ekonomi negara dan kelestarian hidup.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kepentingan belajar pertanian dan memilih kerjaya pertanian amat penting untuk meningkatkan sekuriti makanan negara bagi menjamin asas penghidupan rakyat.

 

Beliau berkata, apa yang pelajar pertanian lakukan ini ialah fardu kifayah untuk meningkatkan rangkaian makanan industri makanan negara agar tidak terlalu bergantung kepada import makanan.

 

“Saya teruja kerana terdapat lebih 2,000 pelajar dalam bidang pertanian di UPM kerana anda bakal menjadi petani moden yang akan meningkatkan keberhasilan industri makanan negara,” ujarnya dalam majlis Program Kongsi Nikmat Agrobank di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

 

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berharap pelajar dan graduan pertanian UPM mengambil cabaran Agrobank untuk menjadi peneraju dalam sektor pertanian dan sekuriti makanan serta menjadi pencipta kerjaya pertanian kepada warga Malaysia dengan bantuan pelbagai pihak seperti Agrobank.

 

“UPM mengalu-alukan sumbangan daripada Agrobank dan mempelawa Agrobank untuk membantu pelajar-pelajar UPM dari segi biasiswa dalam bidang pertanian, dana penyelidikan untuk pertanian dan hadiah pengajian kepada pelajar pertanian yang cemerlang,” kata Prof Arifin.

 

Program Agrobank yang kali kedua di UPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM bertujuan untuk menyampaikan sumbangan pihak korporat sebagai berkongsi rezeki kepada komuniti pelajar jurusan pertanian di UPM.


 

UPM

 

UPM

 

UPM

 


Edaran 200 pek makanan untuk berbuka puasa kepada pelajar-pelajar Fakulti Pertanian UPM terutamanya dari kelompok B40 telah diadakan di Dewan Kolej 12 dan 14. 

 

Turut membantu untuk mengedarkan makanan berbuka kepada pelajar ialah Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman, Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah; Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, Prof Dr Aminuddin Hassan, Timbalan Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin; Ketua Pentadbiran, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Abdullah Arshad; Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Nuruliman Ibrahim dan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI), Norharriz Reseli.

 

Kemeriahan edaran juadah makanan turut merangkumi pelajar UPM pelbagai bangsa dan telah mendapat sambutan pelajar kolej. – DagangNews.com